KUALA LUMPUR – Ibu kepada Asrul Nizam Apridwson berharap anaknya dapat ditemui selepas dilaporkan hilang akibat tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat Indonesia pada 27 November lalu.
Ernalis Alam Shah, 52, berkata, anak sulungnya itu mengikut bapa saudaranya untuk pulang ke kampung bagi melawat neneknya.
“Anak saya beritahu dia rindukan neneknya namun belum sempat sampai di kampung, kereta dinaikinya terbabit dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh.
“Ketika kejadian, dia menaiki kereta seramai lapan orang termasuk adik saya sebelum kereta mereka hilang dalam runtuhan itu dan masih tidak ditemui sehingga sekarang.
“Adik saya yang tinggal di Indonesia memang selalu datang ke Malaysia dan sebab itu dia mahu ikut pulang jumpa neneknya kerana sudah lama tidak bertemu,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Ernalis, anaknya masih belum berkahwin dan bekerja kilang sebelum ini namun berhenti kerana ingin menolong keluarga berniaga secara kecil-kecilan.
“Lokasi kejadian dengan rumah ibu saya mengambil masa kira-kira satu jam perjalanan sahaja tapi dia tidak sempat bertemu neneknya.
“Saya harap dia dapat ditemui tidak kira sama ada hidup atau sebaliknya. Saya pun sudah berada di sini (Sumatera Barat) sejak semalam dan menunggu perkembangan pencarian anak saya,” luahnya.
Semalam media melaporkan, seorang rakyat Malaysia Asrul Nizam Apridwson, 30, hilang dalam kejadian di Sumatera Barat pada 27 November lalu.
Perkara itu disahkan Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini selepas dimaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.
Jelasnya, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan akan terus berhubung dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia dan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Sumatera Barat.
Ia termasuk dengan polis tempatan (Polres Padang Panjang) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat. – MalaysiaGazette

