Banjir di Sumatera: Lebih 800 terkorban, tentera Indonesia gugurkan bantuan di lokasi terpencil

SUMATERA: Seramai 811 orang terkorban dan 623 lagi hilang dalam banjir dan tanah runtuh di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, menurut data rasmi terbaru Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BNPB).

Kompas pula melaporkan tragedi itu turut menyaksikan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengagihkan bantuan logistik kepada penduduk yang masih terpencil khususnya di Kualasimpang, Aceh Tamiang.

Pengagihan bantuan dilaksanakan kelmarin, bagi membantu mangsa di kawasan yang terputus hubungan, lapor Xinhua.

Disebabkan sebahagian besar akses darat masih terputus akibat air bertakung yang tinggi, TNI menggunakan kaedah jatuh udara (airdrop) dengan payung terjun untuk menyalurkan bekalan.

Ketua Pusat Penerangan Markas Besar TNI, Mejar Jeneral (Marin) Freddy Ardianzah berkata, logistik meliputi dua pesawat angkut TNI Angkatan Udara iaitu CN-295 A-2904 dan C-130J Super Hercules.

“Pesawat C-130J Super Hercules 1340 turut memperkukuh operasi kemanusiaan dengan menggugurkan 20 pek pakej bantuan LCA seberat 2.5 tan,” katanya dalam siaran media semalam.

Freddy berkata, kapasiti angkut besar dan liputan luas yang dimiliki Hercules menjadikannya aset penting dalam penghantaran bantuan berskala besar ke wilayah terjejas.

Sementara itu, pesawat CN-295 A-2904 menyalurkan bantuan dengan menggugurkan 90 ‘helibox’ berisi keperluan asas dan kelengkapan kecemasan.

Pengguguran itu dilakukan dalam tiga kali dengan masing-masing membabitkan jumlah berat 450 kilogram.

Freddy menjelaskan kaedah jatuh udara digunakan kerana medan yang sukar dilalui kenderaan bagi memastikan bantuan dapat sampai segera kepada mangsa.

Sementara itu, seramai 463 individu masih dilaporkan hilang di tiga wilayah paling terjejas, iaitu Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.

Pemimpin tempatan terpaksa merayu campur tangan segera kerajaan pusat susulan kekurangan dana, makanan dan bekalan bahan api yang semakin meruncing.

Difahamkan, gangguan bekalan elektrik dan jalan raya yang terputus turut menyukarkan penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.

Di Aceh Timur, bekalan bahan api yang terhad selama beberapa hari memaksa bantuan dihantar melalui laluan air.

Ketua wilayah, Iskandar Usman Al-Farlaky, berkata seramai 135,000 penduduk di kawasan terpencil kini berdepan ancaman kebuluran.

Sementara itu, Aceh Tengah mencatatkan 21 kematian akibat banjir dengan 54,000 mangsa terjejas dan bekalan beras serta bahan api semakin berkurangan.

Kelewatan tindak balas kerajaan dalam memberi bantuan mencetuskan kemarahan awam sehingga tiga lagi pemimpin wilayah mendesak pengisytiharan darurat nasional.

Secara keseluruhan, bencana itu menjejaskan lebih 3.1 juta penduduk di seluruh Indonesia membabitkan 592,600 terpaksa dipindahkan.

Jurucakap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, Prasetyo Hadi, berkata peruntukan bantuan bencana sebanyak 500 bilion rupiah (RM123 juta) masih mencukupi dan boleh ditambah jika perlu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Prabowo menyatakan keadaan semakin pulih dan susunan bantuan sedia ada adalah memadai.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar pula menyalahkan aktiviti pembalakan haram sebagai faktor yang memburukkan impak bencana kali ini. – AGENSI