Muzium Louvre bocor, rosakkan ratusan artifak bahagian Mesir Kuno

PARIS: Kebocoran yang berlaku di Muzium Louvre akhir bulan lalu, merosakkan ratusan artifak di bahagian Mesir Kuno, kata pihak muzium Paris itu, beberapa minggu selepas insiden kecurian barang kemas yang menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan infrastruktur muzium terbabit.

Timbalan Pentadbir Muzium, Francis Steinbock berkata, antara 300 dan 400 karya terjejas akibat kebocoran yang dikesan pada 26 November lalu, antaranya jurnal kaji Mesir dan dokumentasi saintifik yang banyak digunakan penyelidik.

Artifak yang rosak itu berasal dari akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, namun kata Steinbock, “walaupun amat berguna, ia bukan item unik.”

Beliau menegaskan tiada artifak warisan terjejas dan setakat ini tidak menanggung kerugian teruk berkait koleksi berkenaan.

Insiden itu berlaku selepas rompakan pada Oktober lalu, menyaksikan empat penjenayah menceroboh muzium seni yang paling banyak dilawati di dunia itu pada siang hari dan melarikan barang kemas bernilai anggaran AS$102 juta (kira-kira RM420 juta) dalam tempoh tujuh minit.

Kejadian itu mencetuskan perdebatan mengenai infrastruktur muzium yang semakin usang.

Louvre memaklumkan akan mengadakan siasatan dalaman terhadap kebocoran yang berpunca daripada pembukaan injap secara tidak sengaja dalam sistem pemanasan dan pengudaraan, menyebabkan air meresap melalui siling sayap Mollien, tempat buku-buku itu disimpan.

Sistem yang usang sepenuhnya itu dihentikan selama berbulan dan dijadual diganti mulai September 2026, menurut pentadbir muzium.

Mengenai karya yang rosak, muzium memaklumkan ia dikeringkan dan dihantar kepada penjilid buku untuk dipulihkan sebelum kembali dipamer di rak.

Louvre ialah muzium paling banyak dilawati di dunia dengan 8.7 juta pengunjung pada 2024, 69 peratus daripadanya oleh pelancong luar negara.

Bulan lalu, Louvre mengumumkan kenaikan harga tiket bagi kebanyakan pengunjung bukan Kesatuan Eropah (EU) termasuk pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Britain dan China yang kini perlu membayar 32 euro (kira-kira RM160) untuk masuk.

Kenaikan 45 peratus itu menurut muzium bagi meningkatkan pendapatan tahunan sehingga AS$23 juta (kira-kira RM95 juta) supaya dapat membiayai penambahbaikan struktur. – AFP