Thanabalan mati dalam tahanan polis, keluarga dapat ganti rugi RM1.1 juta

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini memberikan ganti rugi kira-kira RM1.1 juta kepada keluarga ahli perniagaan, S. Thanabalan yang meninggal dunia semasa dalam tahanan polis, tujuh tahun lalu.

Hakim Noor Hayati Mat juga mengarahkan kerajaan membayar faedah lima peratus setahun kepada balunya, V. Santhi dan bapanya, P. Vathian bermula daripada hari mendiang ditemui meninggal dunia pada 17 April 2018 di lokap polis Shah Alam sehingga ganti rugi dibayar.

Mahkamah turut memerintahkan RM500,000 sebagai ganti rugi am kerana kecuaian, kerosakan teruk termasuk kesakitan dan penderitaan (RM200,000), tuntutan tanggungan (RM414,000), kehilangan nyawa (RM30,000) dan ganti rugi khas untuk menampung perbelanjaan pengebumian (RM10,000).

Keputusan itu disampaikan melalui prosiding secara dalam talian hari ini dan disahkan oleh peguam M. Visvanathan yang mewakili keluarga tersebut.

Mahkamah mendengar penghujahan pihak-pihak mengenai taksiran ganti rugi, bulan lalu.

Mahkamah turut memberi kos RM7,000 kepada Santhi dan Vathian.

Visvanathan, V. Sanjay Nathan dan V. Pushan Qin Nathan mewakili Santhi dan Vathian manakala Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim dan Amin Azizan bertindak bagi kerajaan.

Pada 12 Mac 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan polis dan kerajaan untuk mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati mereka cuai berhubung kematian ahli perniagaan itu dalam lokap polis pada 2018.

Pada 30 Oktober 2023, keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada Santhi dan bapanya yang memutuskan bahawa Ketua Polis Negara dan kerajaan cuai kerana gagal menghantar Thanabalan ke hospital secepat mungkin.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lee Swee Seng mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi taksiran ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga ahli perniagaan itu.

Thanabalan ditahan pada 29 Mac 2018 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana didakwa terlibat dengan kumpulan jenayah terancang.Pada jam 8.30 malam 17 April 2018, Thanabalan pengsan di lokap Ibu Pejabat Polis Shah Alam dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.

Santhi, 45, dan bapanya Vathian, 75, memfailkan saman itu pada 2021 terhadap 11 pegawai polis, Ketua Polis Negara dan kerajaan kerana cuai dan salah laku dalam jawatan awam.

Santhi juga memfailkan saman itu bagi pihak dua anaknya dan harta pusaka suaminya. Bapanya, Vathian ialah pentadbir bersama harta pusaka itu.

Pada 4 April 2022, Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak saman itu tetapi Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan tersebut dan mendapati polis dan kerajaan cuai atas kematian Thanabalan. – MalaysiaGazette