Ketika khabar rombakan Kabinet berlegar dalam radar politik nasional, persoalan paling besar wajar ditanyakan bukan siapa bakal dikekalkan, digugurkan atau dinaikkan, tetapi apakah falsafah kepemimpinan ingin dibentuk kerajaan hari ini.
Adakah Malaysia masih selesa dipimpin golongan pemimpin biasa atau generalist yang fasih berpidato dan berpolitik, atau sudah tiba masanya negara ini berani meletakkan lebih ramai pakar iaitu mereka terlatih dalam sains, kejuruteraan dan matematik di barisan hadapan pentadbiran negara.
Dalam era ekonomi berasaskan data, teknologi dan kecerdasan buatan (AI), keputusan politik tidak lagi boleh bergantung pada sentimen semata-mata. Ia menuntut ketelitian, pemikiran sistemik dan keupayaan membuat keputusan berasaskan bukti.
Rombakan Kabinet bakal dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seharusnya menjadi titik perubahan ke arah kepemimpinan lebih rasional, saintifik dan berani mencabar kelaziman lama.
Dunia hari ini bergerak dalam suasana pergolakan, ketidakpastian, kompleks dan kekaburan (VUCA). Krisis rantaian bekalan global, perubahan iklim, pandemik, geopolitik teknologi dan ketidaksamaan ekonomi memerlukan pemimpin yang mampu memahami realiti ini bukan secara retorik, tetapi secara analitikal.
Di sinilah perbezaan ketara antara pakar atau specialist dan pemimpin biasa atau generalist menjadi relevan. Seorang jurutera terlatih akan melihat masalah sebagai sistem saling berkait. Seorang saintis data akan bertanya di manakah bukti, pola dan ramalan. Seorang ahli matematik akan menguji hipotesis sebelum membuat kesimpulan.
Sebaliknya, pemimpin berlatarbelakangkan sains sosial dan kemanusiaan sering terperangkap dalam naratif kualitatif. Golongan ini bukan tidak penting, tetapi tidak mencukupi dalam membuat keputusan berimpak besar.
Ahli falsafah politik, Niccolo Machiavelli pernah menulis seorang pemimpin yang baik harus memahami realiti sebagaimana adanya, bukan sebagaimana diinginkan.
Dalam konteks hari ini, realiti itu adalah data, model ramalan dan pemahaman saintifik mengenai risiko dan kebarangkalian. Tanpa keupayaan ini, dasar awam mudah menjadi eksperimen sosial mahal.
Ahli fasafah dan ekonomi Scotland, Adam Smith dalam bukunya, The Wealth of Nations menekankan kepentingan pengkhususan (division of labour) dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Jelasnya, pengkhususan menjadikan manusia dan sesebuah negara lebih produktif kerana setiap orang menumpukan kepada satu kemahiran khusus sehingga menjadi lebih mahir dan berkesan dalam pekerjaannya.
Ironinya, prinsip asas ekonomi ini jarang diaplikasikan dalam pembinaan Kabinet negara. Kementerian Ekonomi, Kementerian Kesihatan (KKM), tenaga atau teknologi sering diterajui tokoh politik tidak mempunyai latihan formal dalam bidang berkenaan.
Ini bukan soal merendahkan kelulusan dan bidang sains sosial atau kemanusiaan. Bidang ini penting dalam memahami manusia dan masyarakat. Namun, masalah bermula apabila semua bidang dianggap sama dan kepakaran teknikal dilihat sebagai tidak signifikan dalam membuat keputusan negara.
Pemikir berstruktur
Seorang specialist bukan sekadar pakar teknikal, tetapi pemikir berstruktur. Mereka dilatih meragui andaian, menguji teori dan menerima hakikat sesuatu keputusan mesti disemak dan diperbaiki.
Dalam dunia kejuruteraan, kegagalan kecil diperbetulkan sebelum menjadi bencana besar. Dalam dunia politik, kegagalan sering diselindung dengan alasan dan retorik.
Di negara maju, kehadiran saintis dan jurutera dalam pentadbiran awam bukan lagi perkara luar biasa. Jerman, Korea Selatan dan Jepun secara konsisten mengangkat teknokrat dalam penggubalan dasar strategik.
Malaysia tidak kekurangan individu berkepakaran tinggi, tetapi sering kekurangan keberanian politik untuk memberi ruang kepada mereka.
Pandangan ini penting bukan sekadar untuk elit politik, tetapi khususnya untuk golongan belia. Generasi muda hari ini membesar dalam dunia algoritma, AI dan automasi.
Mereka berfikir secara logik, pantas dan berasaskan maklumat. Apabila politik dilihat tidak rasional atau terlalu sentimental, jurang kepercayaan terhadap institusi negara semakin melebar.
Jika belia melihat kepemimpinan negara tidak menghargai kepakaran, mesej yang sampai kepada mereka ialah ilmu tidak penting. Yang penting ialah kebolehan berpidato dan berpolitik. Ini adalah mesej berbahaya untuk kelangsungan negara.
Pemikir berpengaruh British, John Stuart Mill pernah mengingatkan demokrasi tanpa pemikiran rasional akan berubah menjadi pemerintahan emosi.
Dalam konteks Malaysia, rombakan Kabinet bukan sekadar rombakan jawatan, tetapi peluang mendefinisikan arah intelektual kepimpinan negara.
Perdana Menteri kini berada pada persimpangan penting. Dengan latar belakang reformis dan pemikir, beliau mempunyai peluang sejarah memecahkan tradisi lama dan memperkenalkan pendekatan baharu, membina Kabinet seimbang antara pemahaman sosial dan kepakaran saintifik.
Persoalan specialist atau generalist bukan pilihan hitam putih. Negara tetap memerlukan kedua-duanya. Namun, dalam zaman kompleks dan berisiko tinggi ini, keutamaan harus diberikan kepada mereka yang mampu berfikir secara saintifik, sistematik dan berasaskan bukti.
Rombakan Kabinet bakal berlaku akan menjadi cerminan sejauh mana Malaysia serius membina masa depan berasaskan ilmu dan kepakaran. Jika peluang ini disia-siakan, kita mungkin terus berlegar dalam kitaran dasar reaktif dan jangka pendek.
Seperti kata Albert Einstein, “We cannot solve our problems with the same thinking we used when we created them.”
Malaysia tidak boleh lagi bergantung kepada cara lama dalam memilih pemimpin. Masa depan negara menuntut keberanian untuk berubah dan ia bermula dengan siapa diberi amanah memegang kuasa.
Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM

