Guardiola atasi rekod Ferguson

LONDON: Kemenangan Manchester City ke atas Crystal Palace malam tadi menyaksikan Pep Guardiola memerlukan hanya 358 perlawanan untuk mencapai 150 kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila City menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol.

Beliau kini memecahkan rekod sebelum ini yang dipegang Alex Ferguson dalam 522 perlawanan.

Satu-satunya pengurus lain yang pernah mencapai 150 kemenangan seumpama itu adalah bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang memerlukan 524 perlawanan.

Secara keseluruhan, Ferguson memenangi 245 daripada 810 perlawanan apabila Manchester United menjaringkan tiga gol atau lebih, manakala Arsenal Wenger melakukan perkara sama dalam 228 daripada 828 perlawanan.

Dua gol Erling Haaland dan rembatan kemas Phil Foden membantu kemenangan di Selhurst Park, meneruskan prestasi cemerlang City di liga sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Dikenali dengan gaya bola sepak cantik dan hantaran tepat, rekod terbaharu ini membuktikan falsafah menyerang yang dipimpin Guardiola di Stadium Etihad.

Ini juga menandakan satu lagi pencapaian buat pengurus berbangsa Catalan itu, hanya beberapa minggu selepas beliau meraikan penampilan ke-1,000 dalam karier kejurulatihan profesional.

Beliau turut menjadi pengurus terpantas mencapai 250 kemenangan EPL pada Oktober lalu, hanya memerlukan 349 perlawanan untuk mencapainya.

Dalam sembilan setengah musim di England, Guardiola mengumpul 821 mata EPL daripada 358 perlawanan, menjadikan City pasukan paling dominan sepanjang tempoh itu.

Semua pencapaian ini membolehkannya menjuarai enam gelaran EPL dalam sembilan musim penuh, dengan hanya Ferguson pernah memenangi lebih banyak gelaran liga utama England sepanjang sejarah. – AGENSI