MERSING – Seramai 30 mangsa banjir dari Kampung Baru Air Tawar dan Kampung Hubong, Endau di sini dipindahkan ke satu pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini selepas kediaman mereka dinaiki air.
Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Endau Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pemindahan tersebut melibatkan 10 keluarga ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar.
“Operasi pemindahan mangsa bermula pada pukul 12.01 tengah malam tadi manakala PPS berkenaan dibuka secara rasmi pada pukul 5 pagi ini.
“Seramai 30 penduduk dipindahkan ke PPS berkenaan sebagai langkah keselamatan. Pecahan mangsa terdiri daripada dua bayi perempuan, dua bayi lelaki, lima kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, enam lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa, dua lelaki warga emas dan seorang wanita warga emas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keadaan cuaca semasa masih hujan dan pemantauan berterusan sedang dijalankan pihak bomba bersama-sama agensi berkaitan.
Tambahnya, setakat laporan dikeluarkan, tiada jalan utama dilaporkan terputus atau dinaiki air, namun penduduk dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan dan keselamatan penduduk terjejas terus terpelihara,” katanya.- MalaysiaGazette

