Lelaki 21 tahun mengamuk sebelum tikam nenek, tetak moyang

BALING: Lelaki yang menikam nenek sehingga mati dan menetak moyangnya sehingga parah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil semalam dipercayai mengamuk sebelum menyerang kedua-dua mangsa dengan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe, berkata suspek berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 7.50 malam tadi untuk membantu siasatan.

Suspek dibawa oleh orang awam ke balai polis berhampiran sejurus selepas kejadian.

“Suspek adalah cucu kepada mangsa berusia 65 tahun yang meninggal dunia manakala mangsa yang cedera pula berusia 80 tahun adalah ibu kepada si mati.

“Suspek adalah seorang orang kurang upaya (OKU) intelektual disyaki mengamuk dan menyerang si mati dan mangsa dengan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan.

Brandon berkata, senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu sudah ditemui.

Siasatan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan mengaku menikam serta menetak nenek dan moyang di tempat kejadian.

“Lelaki terbabit akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling hari ini untuk permohonan reman,” katanya.

Polis meminta orang ramai yang ada maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Sumber Dari :- Berita Harian