Lelaki beri alasan dalam proses cerai, ditangkap berkhalwat dengan janda

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki memberi alasan dalam proses cerai dengan isterinya, ketika ditahan berkhalwat bersama janda di sebuah rumah di sini, awal pagi semalam.

Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pasangan masing-masing berusia 40-an itu ditahan penguat kuasa JAINJ selepas menerima aduan awam pada jam 1.20 pagi.

Katanya ketika tiba di lokasi rumah teres dua tingkat, terdapat kereta milik wanita dan motosikal disyaki kepunyaan lelaki itu di dalam kawasan pagar yang berkunci.

“Dua penguat kuasa ditugaskan menjaga pintu belakang untuk mengelak individu terbabit melarikan diri. Selepas memberi salam, pintu hadapan dibuka seorang wanita berpakaian lengkap berkain batik.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk membuat pemeriksaan. Di ruang tamu, lampu terpasang dan terdapat tilam di hadapan televisyen yang tertutup.

“Apabila ditanya berapa orang di dalam rumah, wanita diam membisu. Pemeriksaan di tingkat bawah, bilik dan dapur tiada orang lain ditemui.

“Penguat kuasa naik ke tingkat atas yang mempunyai dua bilik. Seorang lelaki ditemui menyorok sebelah almari di dalam sebuah bilik dengan berpakaian lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JAINJ memaklumkan apabila ditanya hubungan mereka mengaku berjumpa tanpa nikah.

Katanya, wanita berstatus janda dan bekerja di daerah ini.

“Lelaki pula berstatus suami orang dan berasal dari negeri ini. Lelaki terbabit menyatakan berhasrat untuk bernikah dengan wanita itu tetapi pernah ‘kantoi’ dengan isteri dan berlaku pergaduhan antara mereka.

“Lelaki ini mendakwa dalam proses perceraian di Mahkamah Sariah tetapi belum diputuskan bercerai. Katanya sebaik saja selesai proses cerai dia akan buat proses untuk bernikah dengan janda berkenaan.

“Anggota penguat kuasa mengesyaki ruang tamu menjadi lokasi pasangan itu berada sebelum di serbu, berdasarkan keadaan selimut dan tuala yang berselerakan dan basah,” katanya.

Pasangan berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.