Witkoff sifatkan rundingan damai AS, Ukraine dan Russia berhasil

WEST PALM BEACH: Rundingan tiga hari di Florida antara pegawai Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Ukraine untuk mengakhiri perang Russia-Ukraine, dianggap berhasil oleh utusan khas AS, Steve Witkoff.

Beliau, dalam satu hantaran di media sosial, berkata, rundingan itu menumpukan kepada penyelarasan kedudukan antara ketiga pihak.

“Russia tetap komited sepenuhnya untuk mencapai keamanan di Ukraine dan amat menghargai usaha serta sokongan AS untuk menyelesaikan konflik Ukraine selain menstabilkan keselamatan global,” katanya.

Selepas bertemu utusan khas Presiden Russia, Kirill Dmitriev, pada Sabtu, Witkoff dan penasihat Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner, bertemu pegawai dari Ukraine dan Eropah semalam, serta secara berasingan dengan delegasi Ukraine yang diketuai Rustem Umerov.

Pertemuan di Miami itu adalah siri terbaru rundingan antara AS, Russia dan Ukraine mengenai pelan damai 20 perkara AS untuk mengakhiri perang, dengan tumpuan kepada empat isu utama.

Witkoff berkata, ia menumpukan pada empat isu utama termasuk pembangunan lanjut pelan damai 20 perkara, rangka jaminan keselamatan pelbagai pihak, rangka jaminan keselamatan AS untuk Ukraine dan pembangunan lanjut ekonomi serta kemakmuran untuk membangunkan semula Ukraine.

“Perunding memberi tumpuan utama pada garis masa dan langkah seterusnya,” katanya.

Pegawai AS, Ukraine dan Eropah pada awal minggu ini melaporkan kemajuan mengenai jaminan keselamatan untuk Kyiv sebagai sebahagian daripada rundingan mengakhiri perang, tetapi masih tidak jelas sama ada syarat berkenaan akan diterima Moscow.

Trump, memberi tekanan kepada Ukraine dan Russia untuk mencapai persetujuan mengakhiri konflik hampir empat tahun itu secepat mungkin, tetapi Russia ingin mengekalkan kawasan Ukraine yang sudah dirampas, manakala Kyiv menolak untuk menyerahkan kawasan terbabit.

Senator Lindsey Graham, sekutu rapat Trump, berkata masih tidak jelas sama ada Presiden Russia, Vladimir Putin akan menerima perjanjian semasa.

Jika tidak, AS mungkin menyita kapal minyak Russia yang dikenakan sekatan dan melabel Russia sebagai penyokong negara keganasan kerana menculik 20,000 kanak-kanak Ukraine. – REUTERS