Reformasikan kerenah birokrasi elak khidmat awam ‘tersangkut’

Transformasi dan reformasi, dua istilah yang semakin diterima rakyat mengalami proses asimilasi dalam kehidupan seharian, dengan sering dikaitkan pada sistem pentadbiran serta tadbir urus, sektor awam atau swasta.

Pada mulanya, ia dilihat sekadar slogan politik bagi menarik kepercayaan rakyat, namun ia adalah iltizam untuk mewujudkan persekitaran pentadbiran organisasi yang kondusif, jujur, berintegriti dan memenuhi amanah.

Dua istilah ini adalah proses panjang untuk memastikan sistem kerajaan berfungsi secara cekap, telus dan berintegriti, serta memberi impak nyata kepada rakyat.

Reformasi dilihat lebih menyerlah dan ‘merakyat’ selepas Kerajaan Perpaduan tertubuh pada akhir 2022. Dalam tempoh singkat ini, usaha transformasi menjadi reformasi menekankan penyelarasan dasar, pengukuhan institusi dan kerjasama strategik antara agensi awam dan swasta.

Tujuannya jelas iaitu untuk memastikan perkhidmatan awam dapat memenuhi penyampaian awam dengan cepat, adil, berkesan dan berintegriti menerusi tatakelola yang baik.

Atas faktor ini, reformasi perkhidmatan awam menjadi tonggak penting dalam proses ini. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menegaskan reformasi adalah kemestian bagi memastikan pentadbiran negara berada pada tahap lebih tinggi dan dihormati rakyat.

Agenda reformasi dilancarkan membawa lapan nilai penting sebagai asas perkhidmatan awam iaitu mesra, adil, luhur, yakin, setia, amanah, arif dan ihsan.

Nilai ini bukan sekadar kata indah di atas kertas atau di bibir, tetapi bertujuan menanam integriti dan kecekapan dalam setiap lapisan birokrasi, menjadikan sistem lebih ‘hidup’ terhadap keperluan rak- yat.

Reformasi institusi diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemula kepada langkah lanjutan untuk memastikan perubahan ini bersifat mampan.

Aspirasi kerajaan jelas iaitu membina pentadbiran cekap, berintegriti dan berpihak kepada rakyat. Kejayaan diukur bukan sekadar melalui statistik atau kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), tetapi melalui keberkesanan dasar dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Penyelarasan subsidi, pengukuhan program BUDI MADANI 95 (BUDI95) dan pelbagai usaha rasionalisasi subsidi adalah antara elemen kejayaan reformasi kerenah birokrasi yang sedang enak dinikmati rakyat.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan baru-baru ini komited menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai platform untuk rakyat mengemukakan aduan mengenai kelemahan dalam perkhidmatan awam. Ia harapan baharu kepada harapan reformasi institusi dan kerenah birokrasi.

Tekad bina budaya tadbir urus baik 

Namun, kewujudan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM) yang berkuat kuasa bermula 1 Disember lalu, adalah bukti komitmen kerajaan mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui penguatkuasaan undang-undang.

Ini adalah contoh usaha kerajaan memperkukuh akauntabiliti dan integriti. Akta ILTIZAM menjadi tekad membina budaya tadbir urus baik dalam sektor awam dan swasta. Dalam konteks ini, integriti tidak lagi menjadi slogan, tetapi asas kepada pengurusan pentadbiran yang telus dan dipercayai.

Sementara itu, kerjasama antara agensi awam dan sektor swasta menjadi elemen penting dalam proses transformasi serta reformasi. Matlamatnya jelas, mempercepat penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kos operasi dan memastikan manfaat sampai kepada rakyat dengan cepat.

Hari ini, harapan rakyat masih teruji. Politik yang bercampur dengan pentadbiran menyebabkan pegawai awam kadang-kala bersikap defensif, ada keputusan tertangguh atau ‘tersangkut’ di antara jabatan.

Maka, reformasi tidak bermakna sekadar memperkenalkan akta atau sistem baharu, tetapi menuntut budaya kerja baharu yang berfokus kepada kepentingan rakyat, memastikan setiap dasar diterjemah kepada tindakan nyata.

Sejarah reformasi dan transformasi birokrasi menunjukkan betapa perubahan dalam amalan pentadbiran bukan sesuatu yang mustahil. Institusi yang kukuh, dasar jelas dan nilai integriti diamalkan boleh mempercepatkan penyampaian bantuan, mengurangkan ketirisan dan memudahkan kehidupan rakyat.

Pengalaman menunjukkan birokrasi lambat dan kompleks masih menghantui harapan semua. Maka, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menjadi gate keeper bagi memastikan kejayaan reformasi kerenah birokrasi.

Selain diukur melalui dokumen, undang-undang atau statistik, ia juga dinilai melalui keberkesanan sistem bagi memastikan rakyat menerima hak dan manfaat mereka dengan mudah dan adil.

Harapan rakyat jelas. Mereka menuntut sistem adil, cepat dan telus. Tanpa perubahan menyeluruh dalam kerenah birokrasi, tanpa penyelarasan agensi efektif dan tanpa keberanian pegawai awam membuat keputusan, semua aspirasi itu akan terus menjadi janji belum tertunai.