Guardiola terasa bagaikan mahu cium Cherki

NOTTINGHAM, England: Pep Guardiola begitu teruja dengan persembahan Rayan Cherki sehingga pengurus Manchester City itu mengaku terasa seperti mahu mencium bintang Perancis itu selepas aksi cemerlangnya membantu mereka menewaskan Nottingham Forest 2-1, malam tadi.

Cherki semakin menonjol sebagai perancang permainan paling berpengaruh City pada musim sulungnya di Etihad selepas menyertai kelab itu dari Lyon pada musim panas lalu.

Pemain berbakat berusia 22 tahun itu kadangkala mengecewakan Guardiola apabila terlalu memikirkan pergerakan, sedangkan hantaran mudah sudah memadai, tetapi di City Ground, dia mempamerkan kemahiran menawan yang memberi impak besar.

Cherki memulakan jaringan pembukaan pada separuh masa kedua oleh Tijjani Reijnders menerusi hantaran tepat sebelum menamatkan aksi dengan jaringan kemenangan City dari dalam kotak penalti, selepas Forest menyamakan kedudukan menerusi Omari Hutchinson.

“Saya mahu dia melontarkan bakat luar biasanya. Kami perlu bermain lebih baik dari bahagian belakang supaya dia dapat lebih banyak bola dari situ. Separuh masa kedua sedikit lebih baik,” kata Guardiola.

“Ada ketika saya menjerit kepadanya dan ada ketika saya terasa mahu mencium dia.”

Kemenangan keenam berturut-turut City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) itu disambut dengan sorakan peminat yang mengiringi Guardiola ketika meraikan di hadapan mereka selepas wisel penamat.

City jauh daripada aksi terbaik menentang Forest yang berjuang habis-habisan, menjadikan kemenangan itu lebih bermakna bagi pengurus warga Sepanyol itu.

Mereka sering tewas dalam situasi sama musim lalu, termasuk kekalahan 0-1 di City Ground pada bulan Mac.

Guardiola mengakui pasukannya mungkin akan tumbang jika berdepan pelan permainan agresif Forest musim lalu.

Sebaliknya, City kini berada dalam persaingan sengit memburu kejuaraan yang dianggap antara pencapaian terbaik Guardiola selepas membentuk semula pasukannya sepanjang 12 bulan lalu.

“Saya sedar ingatan itu lemah, tetapi apabila kami menang enam Liga Perdana, jenis perlawanan seperti ini banyak, jadi ini tiga mata penting,” katanya.

“Terutamanya kerana kualiti lawan. Sean Dyche sudah membina pasukan sebenar. Ini pasukan yang kuat.

“Yang lebih penting adalah bagaimana anda menderita, bertahan, menerima hakikat bahawa anda tidak bermain baik dan boleh lebih baik. Jika tidak, tiada peluang langsung.” – AFP