LONDON: Enzo Maresca dikhabarkan sedang mempertimbangkan untuk meletak jawatan sebagai pengendali Chelsea berikutan pertelingkahan dengan lembaga pengurusan kelab.
Maresca tidak hadir dalam sidang media selepas perlawanan susulan keputusan seri 2-2 menentang Bournemouth pada Selasa, dengan kelab pada awalnya melaporkan pengurus dari Itali itu “sakit”.
Namun, laporan SunSport mendedahkan ia adalah keputusan Maresca untuk tidak hadir, dan langsung tidak membabitkan masalah kesihatan.
Sumber berkata Maresca sedang menimbang masa depannya di Stamford Bridge, walaupun setakat ini belum membuat keputusan muktamad.
Pengendali berusia 45 tahun itu menandatangani kontrak lima tahun pada Jun 2024 dan masih menghormati kelab serta penyokongnya, walaupun merasa bebanan tuntutan dari atas terlalu tinggi.
Maresca berharap kejayaan menjuarai Liga Konferens Eropah dan Piala Dunia Kelab FIFA musim lalu, serta kelayakan Liga Juara-Juara, akan memberinya asas kukuh untuk dibina musim ini.
Namun, hubungan beliau dengan lembaga pengurusan dilaporkan merosot dalam beberapa bulan terakhir.
Chelsea kini di tangga kelima di Liga Perdana Inggeris, 15 mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Sokongan penyokong mulai pudar, dengan laungan “you don’t know what you’re doing” (anda tidak tahu apa yang anda lakukan) semasa beliau menggantikan Cole Palmer, menambah tekanan terhadapnya.
Situasi ini menjadikan masa depan Maresca di Chelsea sangat goyah, walaupun beliau bercadang memimpin pasukan menentang Manchester City pada Ahad.
Sekiranya keputusan buruk berterusan, Maresca mungkin menyertai barisan pengendali Thomas Tuchel, Frank Lampard, Graham Potter dan Mauricio Pochettino yang hanya bertahan seketika sejak pengambilalihan Clearlake-Todd Boehly pada tahun 2022.
Kemenangan atau kekalahan menentang City dan Fulham minggu ini akan memberi isyarat jelas tentang masa depan Maresca di Stamford Bridge. – AGENSI

