NILAI: Sebuah pusat hiburan di Taman Semarak 2, di sini, yang pernah diserbu Mac lalu, sekali lagi digempur pihak berkuasa awal pagi tadi selepas dikesan beroperasi semula secara haram sejak sebulan lalu.
Bukan sekadar tiada permit kebenaran, premis rumah kedai itu diubah suai menjadi pusat hiburan dan dikesan menjadi tumpuan warga asing dari sekitar taman berkenaan untuk berhibur.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata dalam serbuan Op Noda sempena ambang tahun baharu awal pagi tadi, pihaknya menahan 20 warga Myanmar dengan 14 daripadanya wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun, termasuk dua penjaga premis.
“Kami juga membuat rampasan barang kes untuk tindakan saman kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan sah serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, premis itu disyaki menjalankan semula perniagaan kira-kira sebulan lalu selepas tindakan saman dan sita dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Nilai bersama Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Mac lalu.
“Siasatan mendapati premis ini mendapat keuntungan sekitar RM400 hingga RM600 sehari,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk aktiviti perniagaan, antaranya peralatan audio, komputer riba, televisyen, peranti wifi, cop syarikat serta wang tunai berjumlah RM660.
“Semua ditahan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai untuk tujuan reman dan siasatan lanjut,” katanya.

