KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil memberi teguran berkenaan kontroversi kain kafan berharga RM999 yang mencetuskan perdebatan hangat di dalam media sosial ketika ini.
Menurutnya, meskipun niat membeli kain kafan berjenama itu adalah baik, namun menimbulkan rasa kurang senang dalam masyarakat perlu dielakkan.
Beliau turut mengaitkan perbuatan itu dengan kecelaruan mizan yang menyebabkan seseorang mengambil tindakan ganjil.
Ujarnya, meskipun tindakan sedemikian tidak diharamkan, namun umat Islam perlu mengetahui berkenaan setiap keadaan mizan dan neracanya.
“Tidak salah tempah kain kafan dengan sesiapa namun cuba elak daripada ungkapan pakaian berjenama di saat kematian kerana mizan ketika itu adalah amalan soleh kita,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Ahmad Fauwaz turut menjemput individu yang dikaitkan dengan pembelian kain kafan berharga RM999 berkenaan hadir ke pejabat beliau sekiranya ada kekeliruan dalam isu terbabit.
“Kalau ada kekeliruaan datanglah pejabat saya, kita terangkan kekeliruan tersebut.
“Saya sayang masyarakat saya,” katanya.
Terdahulu, seorang usahawan terkenal mencetuskan perdebatan di dalam media sosial selepas berkongsi sudah menempah pakaian untuk ke alam kubur sebagai persiapan menghadapi kematian.
Difahamkan, set kain kafan tersebut ditempah khas daripada pereka fesyen terkenal tanah air pada harga RM999.
Berdasarkan perkongsian di laman media sosil, usahawan itu mendakwa keputusan tersebut dibuat sebagai satu bentuk peringatan diri serta persediaan awal untuk kehidupan selepas mati. – MalaysiaGazette

