BUKIT MERTAJAM – Keluarga yang pernah tular di media sosial setahun lalu kerana terpaksa tinggal di dalam sebuah kereta selepas menjadi mangsa penipuan rumah sewa kini berjaya bangkit dan menjalani kehidupan baharu hasil usaha sendiri.
Sebelum itu Mohd Hilmi Nordin pernah menerima bantuan awal daripada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.
Steven berkata, beliau baru-baru ini menerima mesej ucapan Selamat Hari Natal dan jemputan dari Hilmi sebelum menziarahi keluarga itu bagi melihat sendiri perkembangan mereka, setahun selepas mereka dibantu keluar daripada kehidupan gelandangan.
Menurutnya, ketika kunjungan itu, beliau melihat perubahan ketara dalam kehidupan keluarga berkenaan yang kini tinggal di sebuah rumah sewa yang dibayar sendiri oleh Hilmi hasil pendapatan tetap sebagai pemandu lori.
“Setahun lalu, saya temui Hilmi, isterinya dan lima anak kecil duduk beralaskan kain rentang buruk di tepi kereta. Hari ini, Hilmi berdiri di hadapan rumah dengan senyuman dan keyakinan.

“Rumah ini bukan mewah, tapi cukup selesa. Ada sofa, meja makan, langsir, dapur dan peti ais. Anak-anak boleh makan dengan baik dan tidak lagi tidur di dalam kereta yang cerminnya ditutup plastik,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Tambah Steven Sim, Hilmi kini mempunyai pekerjaan tetap dan mampu menyara keluarganya yang kini berjumlah lapan orang selepas kelahiran anak keenam beberapa bulan lalu.
“Dulu kalau makan ayam goreng, mereka kongsi dua ketul tujuh orang. Hari ini, setiap seorang ada bahagian sendiri. Perkara kecil bagi kita, tapi besar maknanya untuk mereka.
“Saya tak buat semua ini untuk dikenang. Saya buat sebab saya percaya bila kita bantu orang susah, kita bukan sekadar ubah hidup mereka, kita ubah masa depan anak-anak mereka,” katanya.
Mengimbas kembali kisah setahun lalu, Hilmi yang merantau dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk mencari rezeki pernah bekerja sebagai pemandu lori sebelum menjadi mangsa penipuan sewa rumah sehingga menyebabkan keluarganya terpaksa tinggal di dalam kereta.
Keadaan itu memaksa Hilmi melepaskan kerja sebagai pemandu lori dan bekerja sebagai penghantar Lalamove selain seluruh keluarga terpaksa ikut bersama.
Kisah kehidupan Hilmi mendapat perhatian Steven sebelum beliau turun padang membantu menyediakan rumah sewa, kelengkapan asas, mendapatkan pekerjaan baharu untuk Hilmi serta menguruskan kemasukan semula anak-anak ke sekolah. – MalaysiaGazette

