Bekas panglima, 2 isteri tiba di mahkamah untuk permohonan reman

Kuala Lumpur: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) bersama dua isterinya masih dalam proses reman di Mahkamah Putrajaya, pagi ini.

Difahamkan, proses permohonan reman itu dijangka akan memakan masa.

Mereka sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya pada jam 10.02 pagi tadi, menaiki dua kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemuanya dilihat memakai baju tahanan berwarna oren serta bergari, sebelum dibawa masuk ke pekarangan mahkamah.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan tiga individu itu ditahan untuk proses reman, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar jam 3 petang semalam.

Selain tiga individu itu, sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat turut direman selama tujuh hari semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitkan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia menjadikan seramai lima individu ditahan sehingga kini, bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, terdapat beberapa individu lain dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terbabit dalam rasuah yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Tentera Darat.

Petunjuk terbaharu itu diketahui dalam siasatan agensi berkenaan terhadap beberapa projek tender perolehan Tentera Darat, yang sedang giat dijalankan SPRM sejak beberapa minggu lalu.

SPRM juga menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ahli keluarganya, bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.

Azam ketika mengesahkan perkara itu berkata, satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.

SPRM pada 23 Disember tahun lalu hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan menyiasat projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Pada 24 Disember 2005, SPRM telah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung kes tersebut.