Denmark hadapi saat penentu susulan ancaman terbaru Trump terhadap Greenland

COPENHAGEN: Denmark menyifatkan negara itu kini berdepan ‘saat penentu’ dalam kemelut diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung isu Greenland.

Kesimpulan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, sekali lagi memberi bayangan untuk menggunakan kekerasan tentera bagi merampas wilayah Artik itu.

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, berkata terdapat konflik berhubung wilayah itu menjelang mesyuarat di Washington, yang akan membincangkan perebutan global terhadap bahan mentah utama.

“Ini adalah saat penentu dengan taruhan yang melangkaui isu masa depan Greenland,” katanya dalam satu sesi debat bersama pemimpin politik Denmark yang lain semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Frederiksen turut menegaskan kesediaan Denmark untuk mempertahankan nilai mereka di mana-mana sahaja termasuk di Artik, selain menekankan kepercayaan negara itu terhadap undang-undang antarabangsa dan hak rakyat untuk menentukan nasib sendiri.

Tindakan Trump itu turut mendapat tentangan hebat daripada Jerman dan Sweden yang menyatakan sokongan padu mereka kepada Denmark, seperti mana kebanyakan negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, mengecam retorik ancaman AS selepas Trump mengulangi kenyataan bahawa Washington akan ‘melakukan sesuatu’ terhadap Greenland, sama ada mereka ‘suka atau tidak’.

“Sweden, negara-negara Nordik, negara Baltik dan beberapa negara utama Eropah berdiri teguh bersama rakan kami di Denmark,” katanya pada persidangan pertahanan di Salen yang turut dihadiri jeneral AS mengetuai NATO.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan AS mengambil alih Greenland yang kaya dengan mineral adalah satu pencabulan undang-undang antarabangsa dan berisiko menggalakkan negara lain bertindak dengan cara yang sama.

Dalam pada itu, Jerman mengulangi sokongannya terhadap Denmark dan Greenland sebelum berlangsungnya perbincangan di Washington.

Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, yang dijadualkan bertemu rakan sejawatnya dari AS, Marco Rubio, telah mengadakan perbincangan di Iceland bagi menangani cabaran strategik di rantau terbabit.

“Keselamatan di Artik menjadi semakin penting dan ia adalah sebahagian daripada kepentingan bersama kami dalam NATO.

“Sekiranya Presiden AS melihat kepada ancaman yang mungkin datang daripada kapal atau kapal selam Russia atau China di rantau itu, kami sudah tentu boleh mencari jawapannya bersama,” katanya sambil menegaskan bahawa masa depan Greenland mesti diputuskan oleh rakyatnya sendiri dan Denmark.

Wadephul turut menyatakan kesediaan Jerman untuk memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya wujud keperluan untuk memperkukuh komitmen NATO di Artik.

Menteri Kewangan Jerman, Lars Klingbeil, dalam kenyataan berasingan semalam, menegaskan bahawa pengukuhan keselamatan di Artik harus dilakukan bersama-sama sebagai sekutu NATO dan bukannya sebagai seteru.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Rumah Putih minggu ini yang memaklumkan keinginan Trump untuk membeli Greenland dan pada masa sama, tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan.

Greenland adalah jajahan Denmark sehingga 1953, tetapi memperoleh kuasa autonomi 26 tahun kemudian dan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan hubungannya dengan Denmark secara berperingkat.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat menunjukkan penduduk Greenland menentang keras sebarang cubaan pengambilalihan oleh AS. – AFP