BANGKOK – Sebuah kren di tapak projek kereta api berkelajuan tinggi yang dibiayai China di Thailand runtuh menghempap sebuah kereta api penumpang pada hari ini, menyebabkan kereta api itu tergelincir dan mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang, menurut pihak berkuasa.
Struktur kren gergasi yang rosak itu kelihatan terletak di atas tiang konkrit besar, sementara asap berkepul-kepul naik dari bangkai kereta api di bawahnya.
Syarikat yang diberi kontrak untuk membina bahagian landasan kereta api berkelajuan tinggi tempat kren itu runtuh, Italian-Thai Development — salah satu firma pembinaan terbesar di Thailand telah menyaksikan beberapa siri kemalangan maut di tapak-tapaknya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Firma itu menzahirkan ucapan takziah kepada mereka yang terkorban serta puluhan yang cedera, sambil berkata dalam satu kenyataan, ia akan “bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa dan menanggung kos perubatan mereka yang cedera”.
Puluhan anggota penyelamat bekerja hingga ke waktu malam, menggunakan kren lain untuk mengalihkan serpihan dan mencari orang yang hilang di dalam gerabak yang senget di wilayah Nakhon Ratchasima, timur laut ibu negara Bangkok.
Kementerian Kesihatan Thailand pula mengesahkan, 32 orang terbunuh, tiga masih hilang dan 64 dimasukkan ke hospital, termasuk tujuh dalam keadaan serius.
Kemalangan itu berlaku di tapak pembinaan yang merupakan sebahagian daripada projek bernilai lebih AS$5 bilion untuk membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi di Thailand.
Projek itu bertujuan menghubungkan Bangkok ke Kunming di China melalui Laos menjelang 2028, sebagai sebahagian daripada inisiatif infrastruktur besar Beijing, Jalur dan Laluan (Belt and Road).
Perunding kejuruteraan Theerachote Rujiviphat, penasihat projek kereta api berkelajuan tinggi itu memberitahu AFP, Italian-Thai Development ambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap runtuhan kren tersebut.
Theerachote, dari China Railway Design Corporation pula berkata, kren pelancar yang jatuh ke atas landasan sedia ada itu juga milik Italian-Thai.
“Ia adalah satu-satunya syarikat yang bertanggungjawab. Kemalangan serupa juga pernah berlaku beberapa tahun lalu di bawah tanggungjawab mereka,” tambahnya.
Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mahu pihak kuasa menyiasat punca runtuhan kren dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Kejadian seperti ini berlaku dengan sangat kerap.
“Saya dimaklumkan bahawa ia melibatkan syarikat yang sama (dalam kemalangan terdahulu). Sudah tiba masanya untuk mengubah undang-undang bagi menyenaraihitam syarikat pembinaan yang berulang kali menyebabkan kemalangan,” katanya kepada wartawan di Bangkok.
Italian-Thai Development dan pengarahnya termasuk dalam lebih 20 individu dan syarikat yang didakwa pada Ogos tahun lalu dalam kes berkaitan runtuhan sebuah bangunan tinggi di Bangkok akibat gempa bumi. Runtuhan itu mengorbankan kira-kira 90 orang, kebanyakannya pekerja binaan.
Lima orang terbunuh dan 24 lagi cedera pada bulan Mac apabila sebuah kren runtuh di tapak pembinaan lebuh raya, dalam usaha sama yang turut melibatkan Italian-Thai.
Pada tahun 2017, sebuah kren yang digunakan dalam pembinaan sistem rel bertingkat Bangkok oleh syarikat itu runtuh di hadapan sebuah kuil Buddha, mengorbankan tiga pekerja binaan, menurut media tempatan.
Dalam satu kejadian serupa dua tahun sebelumnya, sebuah kren Italian-Thai jatuh dan menghempap dua buah kereta di hadapan sebuah stesen kereta api di Bangkok, mencederakan seorang individu.
Jabatan Perhubungan Awam Wilayah Nakhon Ratchasima berkata pada hari Rabu bahawa kren itu runtuh menghempap sebuah tren yang sedang dalam perjalanan dari Bangkok ke wilayah Ubon Ratchathani, “menyebabkan tren itu tergelincir dan terbakar”.
Menteri Pengangkutan, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, seramai 195 penumpang berada di dalam tren tersebut.
Thailand mempunyai kira-kira 5,000 kilometer (3,107 batu) rangkaian kereta api, namun sistem yang uzur itu telah lama menyebabkan orang ramai lebih memilih perjalanan darat.
Apabila landasan kereta api berkelajuan tinggi sepanjang 600 kilometer itu siap, tren buatan China akan beroperasi dari Bangkok ke Nong Khai, di sempadan Sungai Mekong dengan Laos, pada kelajuan sehingga 250 kilometer sejam. – MalaysiaGazette

