BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan kementerian pengangkutan menamatkan kontrak serta mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat kontraktor yang terbabit dalam dua insiden kren pembinaan tumbang dan menyebabkan puluhan orang maut.
Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar, Anutin berkata kerajaan akan mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu, termasuk menyenaraihitamkan syarikat pembinaan berkenaan, bagi melindungi kepentingan awam, memastikan keselamatan dan mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap negara itu, lapor Xinhua.
Tindakan itu diambil susulan kejadian di sebuah tapak pembinaan lebuh raya bertingkat semalam, apabila sebahagian struktur kren runtuh ke atas lebuh raya utama yang menghubungkan Bangkok dan wilayah Samut Sakhon, mengorbankan dua orang dan mencederakan dua yang lain.
Sehari sebelumnya, satu lagi kren pembinaan yang digunakan untuk pembinaan jambatan kereta api berkelajuan tinggi runtuh ke atas sebuah kereta api penumpang yang sedang lalu di wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut negara itu, mengakibatkan 32 orang terbunuh dan 66 cedera.
Menurut Menteri Pengangkutan Thailand Phiphat Ratchakitprakarn, kedua-dua insiden kren tumbang itu dikaitkan dengan syarikat kontraktor Italian-Thai Development PLC.
Kontrak bagi dua projek terbabit akan ditamatkan, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat semalam.
Semua baki kontrak yang masih dipegang syarikat itu turut digantung, katanya sambil menambah bahawa pasukan jurutera dan pegawai pengangkutan dihantar bagi memeriksa tahap keselamatan di setiap tapak sebelum sebarang kerja dibenarkan bersambung.
Beliau berkata, kementerian menetapkan tempoh seminggu kepada jawatankuasa pencarian fakta untuk menyelesaikan siasatan punca kejadian runtuhan berkenaan.
Kelmarin, syarikat pembinaan itu mengeluarkan kenyataan menyampaikan ucapan takziah atas insiden pada hari yang sama serta berjanji untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap bayaran pampasan dan rawatan perubatan. – BERNAMA-XINHUA

