Saya tak salahkan sesiapa, ini takdirnya- Suami Nadia Kesuma

KUALA LUMPUR – “Saya dengar banyak komen yang negatif (tetapi) saya tidak salahkan siapa-siapa kerana ini sudah takdir dia. Masya Allah, rupanya dia nak jadikan Mekah, tanah Arab ini macam rumahnya, ” kata suami kepada pelakon Nadia Kesuma yang meninggal dunia di Jeddah, Arab Saudi dua hari lalu.

Menurut Prof Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, allahyarham isterinya amat teruja untuk kembali semula ke tanah suci kali ini selepas pulang mengerjakan umrah tahun lepas.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia itu menambah, meskipun pemergian allahyarham Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim kali ini bersama jemaah yang tidak dikenalinya, isterinya itu tetap gembira untuk berangkat ke tanah suci.

“Lepas saya hantar dia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di mana semua jemaah berkumpul, dia kata alamak, tahun ini tak sama dengan tahun lepas.

“Ini kerana dia pergi bersama jemaah yang masih belum pernah ditemui sebelum ini berbanding pemergiannya pada tahun lepas iaitu bersama rakan-rakannya,” katanya lagi menerusi hantaran video yang dimuat naik agensi umrah, Nuh Travel & Tours, hari ini.

Muhammad Kamarul Kabilan bersama anak perempuannya berlepas ke Jeddah menerusi penerbangan Saudia bersama anaknya, jam 5.30 petang tadi bagi menyelesaikan segala urusan jenazah di King Fahad Hospital.

Ia termasuk menguruskan dokumentasi dan mengambil semula barangan peribadi allahyarham Nadia Kesuma.

Jenazah allahyarham dijangka dikebumikan pagi esok mengikut waktu tempatan di Jeddah, Arab Saudi. –MalaysiaGazette