Guru di Selangor paling ramai bankrap

JASIN – Kemudahan kelulusan pinjaman peribadi tanpa perancangan kewangan yang teratur dikenal pasti faktor utama kebankrapan dalam kalangan guru di Selangor, sekali gus merekodkan jumlah kes tertinggi di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri berkata, dapatan itu diperoleh hasil pelaksanaan program literasi kewangan yang dijalankan di negeri berkenaan.

Menurut beliau, antara punca keadaan itu ialah apabila ada sebahagian besar guru mudah memperoleh pinjaman peribadi melalui potongan gaji.

“Kakitangan kerajaan di Selangor adalah yang tertinggi bankrap dan kebanyakannya adalah guru-guru, disebabkan membuat pinjaman peribadi.

“Guru-guru ini mudah mendapat kelulusan pinjaman kerana bayaran dibuat melalui potongan gaji, namun ramai tidak merancang kewangan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Literasi Kewangan di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ishak berkata kebanyakan pinjaman peribadi itu bukan dibuat atas keperluan mendesak, sebaliknya didorong oleh sikap mengambil kesempatan terhadap kemudahan kelulusan yang ditawarkan institusi kewangan.

“Kemudahan pinjaman yang mudah menyebabkan ada individu berbelanja melebihi kemampuan sebenar tanpa perancangan kewangan jangka panjang, akhirnya membawa kepada kebankrapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pendekatan Jabatan Insolvensi kini lebih tertumpu kepada usaha pencegahan melalui pendidikan kewangan berbanding tindakan menghukum.

“Kalau dahulu Insolvensi lebih kepada menghukum, kini kita mahu membantu individu untuk berubah dengan memberi pendedahan dan kemudahan yang bersesuaian.

“Pada tahun lalu sahaja, kira-kira 200,000 individu yang diisytiharkan bankrap telah dibebaskan selepas kes mereka diteliti bagi memberi peluang kedua membina semula kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette