JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menegaskan pasukannya tidak mahu lagi dibolosi gol apabila berdepan PDRM FC pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.
Walaupun membawa kelebihan besar hasil kemenangan 10-1 pada perlawanan pertama, Munoz menegaskan baki 90 minit masih perlu diharungi dengan penuh fokus dan disiplin.
“Kami bermula dengan baik pada perlawanan pertama, tetapi baki 90 minit masih menjadi penentu. Kami tidak boleh berada dalam zon selesa dan perlu kekal fokus sepanjang perlawanan,” katanya.
Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, persembahan konsisten dari minit pertama hingga wisel penamat amat penting bagi memastikan JDT mengekalkan momentum kemenangan dan mara ke suku akhir selaku juara bertahan.
“Sebagai juara bertahan, kami perlu bermain secara konsisten dan mengelakkan sebarang kesilapan, terutama di bahagian pertahanan. Kami tidak mahu dibolosi gol lagi.
“Walaupun kami memiliki kelebihan jaringan besar, kami tetap perlu mengekalkan pendekatan taktikal yang sama. Jika kami tidak konsisten, perlawanan akan menjadi sukar,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan memberi peluang kepada pemain yang kurang mendapat minit permainan, namun menegaskan kemenangan kekal menjadi misi utama pasukan.
Jika berjaya menyingkirkan PDRM FC, JDT akan berdepan Melaka FC pada suku akhir.

