Tang Jie-Ee Wei bangkit raih gelaran juara

KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menjuarai gelaran Masters Indonesia, hari ini.

Dalam aksi final yang penuh mendebarkan di Istora Senayan, pasangan nombor empat dunia itu dipaksa bermandi peluh sebelum berjaya menundukkan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam pertarungan tiga set 15-21, 21-17, 21-11.

Kemenangan dalam permainan yang memakan masa 57 minit itu membolehkan Tang Jie-Ee Wei merangkul gelaran juara keenam dalam karier mereka dan lebih manis, pada penampilan final ke-10 mereka di pentas Jelajah Dunia BWF.

Pada set pertama, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan bermula agak perlahan apabila dilihat tidak berjaya menemui rentak permainan sebenar yang sekali gus memberi ruang mudah kepada lawan untuk menang 15-21.

Begitupun, skrip perlawanan berubah pada set kedua apabila gandingan negara itu kembali memperkemaskan permainan. Selepas kedudukan mata terikat 12-12, mereka berjaya meletakkan tekanan kepada pasangan Denmark untuk mendahului dengan jurang besar 17-12.

Dan sekali pun lawan yang menghuni ranking ke-10 dunia itu cuba mengejar, ketenangan Tang Jie-Ee Wei membolehkan mereka mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-17.

Momentum positif itu kemudian diteruskan pada set ketiga apabila pasangan negara tampil dengan aksi lebih agresif dan enggan memberi sebarang ruang kepada lawan untuk bangkit, sebelum menoktahkan kemenangan bergaya 21-11.

Sebagai rekod, kejayaan di Jakarta ini turut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei memperbaiki rekod pertemuan mereka menentang Christiansen-Boje kepada 3-1 dan melunaskan dendam kekalahan mereka pada pertemuan terakhir di Terbuka Macau, September tahun lalu.