Penilaian bebas sahkan Aerotrain di KLIA berfungsi seperti dirancang – Malaysia Airports

KUALA LUMPUR: Sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disahkan berfungsi seperti yang dirancang, menurut penilaian bebas dijalankan oleh penilai rel profesional yang dilantik bagi menilai prestasi sistem berkenaan.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata, penilai berkenaan memaklumkan gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak sistem itu mula beroperasi adalah perkara lazim pada fasa awal operasi sistem rel yang kompleks.

Menurut penilaian itu, dengan kawalan kejuruteraan berstruktur serta pemantauan berterusan dilaksanakan, isu terbabit tidak menimbulkan risiko keselamatan dan boleh diurus secara berkesan melalui amalan kejuruteraan serta penyelenggaraan yang berdisiplin.

“Sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) yang bermula pada 15 November 2025, operasi Aerotrain kekal stabil dengan Ketersediaan Perkhidmatan Operasi mencecah 100 peratus pada Disember 2025, berbanding 98.67 peratus pada Julai 2025.

“Penilaian bebas itu turut mengenal pasti dua sistem kritikal yang memberi kesan langsung terhadap kebolehpercayaan tren, ketersediaan perkhidmatan dan prestasi pemulihan, iaitu sistem bekalan kuasa dan tren,” katanya.

Bagi sistem bekalan kuasa, reka bentuk keseluruhan serta sistem perlindungan didapati mencukupi dan secara umumnya beroperasi seperti yang dirancang.

Namun, beberapa aspek dikenal pasti untuk terus diberi perhatian, termasuk kualiti pemasangan, pemantauan keadaan rel kuasa dan kejelasan peranan operasi bagi mengukuhkan kebolehpercayaan jangka panjang.

Sementara itu, bagi tren, tumpuan khusus diberikan kepada peranti pengumpul arus yang mempengaruhi kesinambungan daya tarikan serta kestabilan perkhidmatan berikutan interaksi rapatnya dengan rel kuasa.

“CAP dilaksanakan menerusi beberapa aliran kerja bersepadu merangkumi pemeriksaan dan pembetulan, ujian serta pengesahan sistem, dan operasi percubaan.

“Aktiviti pemeriksaan dan pembetulan di seluruh sistem Aerotrain telah disiapkan, dengan program kini berada pada peringkat akhir bagi menutup baki tindakan pembetulan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan menyeluruh sistem,” jelas Malaysia Airports.

Ujian utama terpilih ke atas sistem kritikal, termasuk sistem komunikasi dan SCADA serta sistem kuasa, turut dijalankan bagi mengesahkan prestasi selepas kerja pembetulan dilaksanakan.

Selain itu, operasi percubaan dilaksanakan dari 16 hingga 24 Disember 2025, meliputi 18 kes ujian yang dirancang berkaitan antara muka sistem bekalan kuasa, kenderaan dan isyarat, serta sistem penggera kebakaran.

Dapatan daripada aktiviti ini telah didokumenkan dan tindakan penambahbaikan bersasar kini sedang dilaksanakan.

Dalam tempoh CAP, waktu kerja kejuruteraan pada awalnya dijadualkan dari jam 9 malam hingga 7 pagi, sebelum dipendekkan kepada jam 11 malam hingga 7 pagi bagi menampung tempoh puncak musim perayaan dan cuti sekolah.

Malaysia Airports memaklumkan, pengurangan waktu kerja itu dapat dikekalkan susulan penambahbaikan dalam penyusunan kerja dan penggunaan sumber.

“Kami akan terus melaksanakan baki langkah CAP secara terkoordinasi dan seimbang, dengan sokongan pemantauan berterusan serta pengawasan bebas, bagi memperkukuh kebolehpercayaan sistem dan mengekalkan operasi Aerotrain yang konsisten di KLIA,” katanya.