Warga emas ditemui lemas selepas bot hanyut

KOTA TINGGI – Misteri kehilangan seorang warga emas selepas botnya ditemukan dalam keadaan enjin hidup dan hanyut terjawab apabila mayatnya ditemui di persisiran pantai Yard Kampung Tanjung Che Lahom, Pengerang di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Rengit, Pegawai Bomba Roger Ribut berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.51 tengah hari berhubung kehilangan mangsa berusia 77 tahun itu.

“Kami dimaklumkan pihak polis tentang bot milik mangsa yang ditemui hanyut dengan enjin masih hidup selain beberapa barangan peribadi mangsa di sekitar kawasan berhampiran kapal kuari di yard berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan enam anggota menggunakan sebuah bot aluminium serta bantuan unit dron, membabitkan pencarian di kawasan perairan yard dan sepanjang pesisiran pantai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, mangsa ditemukan oleh orang awam kira-kira 200 meter dari pesisir pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 7.20 malam.

Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 7.55 malam,” ujarnya. – MalaysiaGazette