Ibu tunggal maut dengan kesan kelar di leher

BUTTERWORTH – Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh di kediamannya di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di sini, hari ini.

Mangsa berusia 41 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di salah sebuah bilik dalam rumah berkenaan dengan kesan kelar pada lehernya.

Difahamkan, jiran memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis pada jam 1.40 tengah hari selepas mangsa yang juga ibu tunggal itu tidak memberi sebarang respons meskipun pintu rumahnya terbuka manakala pagar jeriji didapati berkunci.

Mangsa dikatakan mengambil upah menghantar beberapa pelajar yang tinggal di flat berkenaan ke sekolah dan menetap di rumah itu bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.

Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian.

“Ya, tunggu bedah siasat selesai,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette