KUALA LUMPUR: Seramai 152 warga asing yang didapati melakukan pelbagai kesalahan Imigresen ditahan dalam serbuan di pusat beli-belah terkemuka di Cheras, di sini, malam tadi.
Serbuan dilakukan Jabatan Imigresen Putrajaya jam 8 malam, susulan maklumat dan risikan kebanjiran warga asing dalam kalangan pekerja di premis perniagaan dan kategori pelancong yang berada di pusat beli belah itu hampir setiap masa.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli, berkata ketika serbuan dibuat seramai 890 individu yang bekerja atau berada di kawasan pusat beli-belah itu diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati 458 daripada mereka adalah warga asing dan selebihnya 432 individu rakyat tempatan.
“Hasil saringan dan pemeriksaan terhadap semua warga asing itu mendapati 152 daripada mereka memiliki pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi masa dibenarkan, menyalahgunakan permit kerja serta kesalahan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya yang mengetuai operasi di Jalan Cheras, di sini, malam semalam.
Lokman Effendi berkata, warga asing dari Myanmar adalah antara jumlah tertinggi yang ditahan disusuli warga asing dari China dengan jumlah kedua tertinggi.
“Selepas proses pengesahan dokumentasi dibuat di lokasi serbuan, kita menahan 63 lelaki dan 31 wanita warga Myanmar, 24 lelaki dan 14 wanita warga China, enam wanita warga Indonesia, dua lelaki warga Bangladesh dan beberapa majikan tempatan.
“Kita percaya jumlah ini sebenarnya mungkin lebih ramai lagi namun sebahagian kecil sempat melarikan diri selepas ada pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan sistem pemantauan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan lebih awal sebarang kemungkinan kehadiran penguat kuasa terutama Imigresen,” katanya.
Beliau berkata, antara faktor utama serbuan dibuat disebabkan maklumat dan risikan mengenai lokasi itu dipenuhi warga China.
“Mereka ini didapati mendiami unit kediaman di atas pusat beli-belah, bekerja di kawasan sekitar serta dalam kalangan pengunjung atau pelancong.
“Kebanyakan mereka (warga China) yang diperiksa ini juga didapati melakukan kesalahan tinggal melebihi masa dan menggunakan pas pelajar namun sebaliknya bekerja di premis perniagaan,” katanya.
Operasi penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang didapati melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport, Peraturan-Peraturan Imigresen dan Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

