KOTA TINGGI – Penduduk sekitar lokaliti wabak kluster tuberkulosis (tibi) di daerah ini tidak panik dan menafikan ada yang maut seperti tular dalam media sosial.
Menurut mereka, dakwaan dalam media sosial kononnya Kementerian Kesihatan (KKM) cuba menyembunyikan fakta sebenar kerana kononnya sudah merekodkan beberapa kematian adalah tidak benar.
Seorang penduduk Felda Papan Timur, Normah Muhamad, 51, berkata, situasi di kawasan terbabit tidak seperti digambarkan, kononnya semakin buruk dan seolah-olah tidak terkawal.
Dia yang mengusahakan kedai makan di Medan Selera Hentian Bandar Mas di sini berkata, sehingga hari ini peniaga masih dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.
Katanya, perniagaan mereka tidak terjejas walaupun ada nasihat daripada pihak berkuasa supaya mengehadkan pergerakan harian jika tiada keperluan.
“Tular yang kata keadaan di sini sampai ada kematian yang banyak itu tidak betul. Keadaan yang terkesan itu dalam Felda Sungai Mas, tetapi kami di kawasan sekitar kena berjaga-jaga sahajalah.
“Memang ada orang luar tanya macam-macam bila isu ini tular. Kita nak cakap macam mana, sebab kita di sini ‘okay’ sahaja, boleh berniaga seperti biasa,” katanya ditemui hari ini.
Tinjauan di Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur di sini mendapati kehidupan harian penduduk berjalan seperti biasa.
Namun, penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut bagi mencegah jangkitan.
Malah, papan digital turut memaparkan maklumat berkaitan tibi di laluan utama Felda Sungai Mas dan langkah penjagaan kesihatan yang perlu diambil.
Penduduk Felda Sungai Mas, Rahayu Musran, 45, berkata, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan pergerakan anak-anaknya dan mengingatkan mereka supaya minum air masak dan menjaga kebersihan diri.
Bagaimanapun ibu lima anak itu berkata, bagi anak yang bersekolah, dia masih membenarkan anaknya ke sekolah dengan penjagaan kebersihan yang rapi.
“Saya kerja macam biasa. Anak yang sekolah, saya suruh pergi sekolah sebab sekolah tidak tutup. Ada cikgu beri murid-murid penutup hidung dan mulut. Memang ada yang murid buat saringan, ada yang cuti.
“Cuma anak-anak lain yang tiada keperluan untuk keluar, saya suruh mereka duduk rumah, tetapi, dalam rumah pun, saya suruh mereka jaga kebersihan. Banyakkan minum air masak.
“Pada yang mengalami simptom seperti batuk, mungkin mereka boleh ke klinik dengan segera untuk membuat saringan dan jika positif, boleh kuarantin di rumah, bagi mengelakkan menjangkiti orang lain,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga kelmarin.
Dzulkefly dilaporkan berkata, satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.
Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus pula dilaporkan berkata, rutin harian di lokaliti yang terbabit dengan kluster tibi di daerah ini, berjalan seperti biasa dengan orang ramai dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan diri serta memakai penutup hidung dan mulut.
Beliau dilaporkan berkata, kluster terbabit membabitkan lokaliti Felda Sungai Mas, Bandar Mas dan Felda Papan Timur, yang mana semuanya berada dalam keadaan terkawal.- MalaysiaGazette

