PUTRAJAYA – Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut peraturan yang sah dan tidak boleh didirikan di atas tanah orang lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, adalah salah mengikut undang-undang sekiranya tanah orang dirampas atau diambil secara paksa untuk dibina premis apatah lagi untuk melakukan ibadat.
“Apakah kita harus berikan kebenaran kepada kuil dan rumah ibadat tidak ikut peraturan, tidak boleh? Jelas sebab kita ikut jalur hukum.
“Semua (rumah ibadat) boleh kalau ikut peraturan yang sah. Tanah orang mana boleh kita hendak buat ibadat, kita rampas tanah orang.
“Tanah yang tidak sah, dipaksa dirampas diambil tanpa kebenaran dan hendak dijadikan sah, tidak boleh. Keputusan kita akui tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Damar Sari di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, soal istilah tidak wajar dijadikan pendebatan masyarakat antara maksud kuil haram dan kuil yang tidak mendapat kebenaran tuan tanah.
Ini kerana tegas beliau, istilah itu tetap memberi makna yang sama kerana rumah ibadat itu dibina tidak mengikut peraturan.
“Ada kata jangan sebut kuil haram walaupun istilah umum kuil yang tidak dapat kebenaran tuan tanah atau kerajaan, itu tidak ikut peraturan.
“Jangan kita bergaduh soal istilah. Yang penting tidak boleh, ikut peraturan. Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja yang dibangunkan ikut peraturan.
“Harus cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan. Kalau ada orang langgar, kita ambil tidakan dan jalur hukum,” katanya. – MalaysiaGazette

