PGA rampas kayu balak RM1.6 juta

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat lelaki dan merampas kayu balak serta pelbagai peralatan bernilai hampir RM1.6 juta menerusi dua serbuan berasingan di Kampung Paloh, Gua Musang.

Operasi dilakukan kelmarin sehingga semalam di kawasan ladang getah dan ladang serasa selepas mengesyaki berlaku aktiviti pembalakan haram dan menjual hasil hutan tanpa lesen.

Komander PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan pertama dilakukan di ladang serasa jam 10.30 malam kelmarin apabila pihaknya mendapati jentera berat sedang mengheret kayu balak.

Beliau berkata, hasil serbuan berkenaan pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 46 tahun dan merampas kayu balak serta pelbagai peralatan membabitkan nilai RM1.45 juta.

“Kesemua mereka mengaku terbabit dengan aktiviti pembalakan haram sejak tiga bulan lalu dan kita akan terus dipergiatkan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pembalakan haram atau penyalahgunaan permit,” katanya menerusi kenyataan media.

Dalam serbuan berasingan di ladang getah jam 8.30 malam tadi, Ahmad Radzi berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 48 tahun.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya mengesan kenderaan dipandu seorang lelaki membawa muatan kayu dalam keadaan mencurigakan.

“Selepas menjalankan pemeriksaan, kita menemui enam batang kayu balak disyaki jenis kayu meranti dan pemandu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen. Rampasan dilakukan membabitkan kayu balak dan lori yang dianggarkan bernilai RM140,000,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 ( Akta 313).