Pemandu Axia baling kon di plaza tol serah diri kepada polis

KUALA LUMPUR – Pemandu Perodua Axia yang mencetuskan kekecohan kerana membaling kon ke arah kenderaan lain di Plaza Tol Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP) akan dituduh di Mahkamah Shah Alam pada jam 9 pagi esok.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berusia 35 tahun dari Kuala Lumpur telah hadir  menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pukul 11 pagi tadi.

“Suspek merupakan lelaki tempatan kini telah ditahan di lokap IPD Subang Saya dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Shah Alam.

“Arahan sudah diperoleh untuk pertuduhan yang akan dibuat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Azlan, pemilik kenderaan yang merakam kejadian tersebut telah dapat dikesan dan tampil membuat laporan polis pukul 11.20 pagi semalam.

“Pemilik kereta terbabit adalah lelaki bukan warganegara berusia 54 tahun yang memandu Perodua Myvi dan merakam kejadian itu menggunakan kameran papan pemuka (dashcam).

“Punca kejadian dikenal pasti akibat salah faham di jalan raya ketika suspek cuba masuk ke lorong Touch N Go dan hampir bergesel dengan kereta Perodua Myvi terbabit,” jelasnya. – MalaysiaGazette