SPRM fail permohonan lucut harta alih Putera Turki Abdullah Al-Saud

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin, memfailkan permohonan di mahkamah bagi mendapatkan perintah pelucuthakan harta alih milik Putera Turki Abdullah Al-Saud, yang berada di luar Malaysia.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56(1), 59, dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Harta yang terbabit adalah wang berjumlah keseluruhan AS$115,320,661.63 yang disimpan dalam beberapa akaun bank di Switzerland, termasuk di JP Morgan (Suisse) SA dan UBS Switzerland AG.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan permohonan mahkamah itu dan menegaskan komitmen SPRM untuk terus memastikan sebarang hasil diperoleh melalui aktiviti menyalahi undang-undang diambil tindakan sewajarnya menurut lunas perundangan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, tindakan itu diambil selaras peruntukan undang-undang yang memberi kuasa kepada SPRM memohon pelucuthakan harta yang dipercayai hasil aktiviti haram, tertakluk kepada perintah mahkamah.

Pada Oktober tahun lalu, SPRM memperoleh perintah bagi menghalang transaksi wang berjumlah AS$115,320,661.63 (kira-kira RM486.4 juta) yang disimpan dalam tiga akaun perbankan di Switzerland atas penama Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud.

Perintah menghalang dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 1 Kuala Lumpur, Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) pada pendengaran kes semalam susulan permohonan difailkan SPRM pada 7 Oktober tahun lalu.

SPRM dalam kenyataan berkata, permohonan itu berdasarkan maklumat diterima pihaknya pada 2011, bahawa Putera Turki Abdullah Abdul Aziz Al-Saud menerima, memindah dan menggunakan hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun perbankan miliknya.

Menerusi perintah ini, SPRM berjaya menghalang transaksi membabitkan AS$87,148,732.89 dan AS$12,777,759.74 dalam dua akaun bank di JP Morgan dan AS$15,394,169 dalam akaun bank UBS Switzerland.