Zelensky label Putin sebagai ‘hamba perang’

MUNICH: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggelar Presiden Russia, Vladimir Putin sebagai hamba perang susulan pencerobohan berlarutan negara itu sehingga meragut ratusan ribu nyawa.

Beliau menegaskan Kyiv sedang melakukan segala-galanya untuk menamatkan perang dengan Moscow, antaranya menerusi rundingan terbaru yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan.

“Dia mungkin melihat dirinya sebagai seorang Tsar, tetapi hakikatnya dia adalah hamba kepada perang.” katanya ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Munich.

Ketika berucap di majlis sama, Zelensky mendedahkan serangan Moscow juga merosakkan setiap loji janakuasa di Ukraine.

Zelensky turut membandingkan rundingan semasa Russia-Ukraine mengenai konsesi wilayah dengan Perjanjian Munich pada 1938, yang ketika itu, Adolf Hitler memaksa kuasa Eropah melaksanakan konsesi wilayah yang merujuk tindakan sesebuah negara menyerahkan sebahagian wilayah kepada negara lain, setahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua.

Menjelang beberapa hari sebelum ulang tahun keempat pencerobohan Russia terhadap Ukraine, Zelensky menegaskan ia bukan saja memusnahkan wilayah timur negara itu tetapi juga mengorbankan ratusan ribu nyawa selain memaksa jutaan penduduk melarikan diri.

Sehubungan itu, Zelensky sekali lagi merayu kepada negara Barat mempercepat penghantaran sistem pertahanan udara ke Ukraine.

“Tiada satu pun loji janakuasa di Ukraine yang tidak rosak akibat serangan Russia. Tiada satu pun.

“Namun kami masih menjana elektrik,” tambahnya sambil memuji ribuan pekerja yang membaik pulih loji berkenaan.

Zelensky turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio di luar Persidangan Keselamatan Munich.

Berhubung rundingan setakat ini, beliau berkata AS sering memfokuskan kepada isu konsesi dan terlalu kerap membincangkan mengenai agenda itu hanya dalam konteks Ukraine.

Beliau sekali lagi membuat perbandingan dengan Perjanjian Munich 1938, apabila kuasa Eropah membenarkan Hitler mengambil sebahagian Czechoslovakia sebelum Perang Dunia Kedua tercetus pada tahun berikutnya.

“Adalah satu ilusi untuk percaya bahawa perang ini boleh ditamatkan secara boleh dipercayai dengan membahagikan Ukraine, sebagaimana suatu ketika dahulu seperti yang berlaku di Czechoslovakia,” tegasnya. – AFP