Polis siasat jika wujud unsur 3R Dalam Himpunan #TangkapAzamBaki

KUALA LUMPUR – Polis akan membuka kertas siasatan sekiranya didapati terdapat sebarang unsur menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R) dalam himpunan #TangkapAzamBaki yang berlangsung di hadapan sebuah kompleks beli-belah Sogo sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka, petangv tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya akan meneliti semula semua aspek termasuk ucapan dan kandungan perhimpunan bagi memastikan tiada elemen yang melanggar undang-undang.

Menurut beliau, himpunan yang bermula kira-kira pukul 4 petang itu berakhir sekitar pukul 6 petang dalam keadaan terkawal hasil kerjasama penganjur, peserta dan pihak polis.

“Kita telah memudah cara perhimpunan tersebut dengan mengadakan libat urus awal bersama penganjur bagi memastikan kelancaran serta pematuhan kepada undang-undang,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan berkenaan di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa siri ucapan telah disampaikan sebelum peserta berarak secara perlahan menuju ke Dataran Merdeka dan program berakhir tanpa sebarang kejadian yang menjejaskan ketenteraman awam.

“Setakat ini perhimpunan berjalan dengan baik dan terkawal dengan kehadiran dianggarkan sekitar 200 orang,” katanya.

Tambah beliau, kira-kira 600 anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah digerakkan bagi mengawal keadaan sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Kita akan terus menjalankan pemantauan berdasarkan risikan dari awal sehingga perhimpunan selesai.

“Semua aspek akan diteliti semula. Jika terdapat sebarang isu melibatkan 3R, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama semua pihak membuktikan bahawa perhimpunan boleh dilaksanakan secara berhemah tanpa mengganggu ketenteraman awam.

“Alhamdulillah, hari ini semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette