Remaja terpelanting sebelum maut dalam nahas tiga kenderaan

KOTA TINGGI – Seorang remaja terpelanting dan maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 15.5 Jalan Mawai-Kuala Sedeli di sini malam tadi.

Kemalangan tersebut mengorbankan penunggang motosikal, Mohd Ajmal Haziz Masri yang berusia 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan itu berlaku pukul 7.30 malam melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR, kereta Perodua Bezza dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

“Kemalangan berlaku apabila Perodua Bezza masuk simpang dan menyebabkan motosikal tidak dapat mengelak lalu melanggar dan terpelanting laluan sebelah sebelum dilanggar pula Perodua Alza.

“Dalam kemalangan tersebut penunggang terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tujuan siasatan.

Menurutnya, Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 27 tahun dan Perodua Alza dipandu seorang lelaki berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu Perodua Bezza itu ditahan untuk siasatan lanjut. Kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MalaysiaGazette