,

Trump naikkan tarif global 15%

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menaikkan tarif global ke atas import ke Amerika Syarikat kepada 15 peratus, sekali gus menegaskan pendiriannya untuk mengekalkan dasar tarif agresif, sehari selepas Mahkamah Agung memutuskan sebahagian besar dasar tersebut sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

Menulis di Truth Social miliknya, Trump berkata, pentadbirannya telah menaikkan levi import “ke paras 15 peratus yang dibenarkan sepenuhnya dan telah diuji dari segi undang-undang”.

Trump pada awalnya mengumumkan levi global baharu sebanyak 10 peratus dengan menggunakan saluran perundangan yang berbeza, sejurus selepas keputusan undian 6-3 mahkamah yang menolak kuasa presiden untuk mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan 1977,

Pada masa sama, pemimpin Republikan itu turut melancarkan serangan peribadi luar biasa terhadap hakim-hakim konservatif yang menyebelahi majoriti, dengan mengkritik “ketidaksetiaan” mereka serta melabel mereka sebagai “orang bodoh dan anjing suruhan.”

Keputusan tersebut merupakan satu teguran keras oleh mahkamah tertinggi sejak Trump kembali memegang jawatan selepas kebanyakannya menyebelahi presiden, dan menandakan  kekalahan politik besar apabila dasar ekonomi utama Trump yang telah menggoncang susunan perdagangan global dibatalkan.

Pengumuman pada Sabtu itu dijangka mencetuskan lebih banyak ketidaktentuan ketika Trump meneruskan perang perdagangan yang digunakannya untuk memujuk dan menghukum negara-negara lain, sama ada rakan mahupun lawan.

Ia merupakan langkah terbaharu dalam satu proses yang menyaksikan pelbagai kadar tarif dikenakan ke atas negara-negara pengeksport ke Amerika Syarikat, sebelum diubah atau dibatalkan oleh pasukan Trump sepanjang tahun lalu.

Duti baharu itu menurut undang-undang hanyalah sementara dibenarkan selama 150 hari.

Menurut lembaran fakta White House, pengecualian masih kekal bagi sektor yang sedang disiasat secara berasingan, termasuk farmaseutikal, serta barangan yang memasuki AS di bawah perjanjian Amerika Syarikat–Mexico–Kanada.

Pada Jumaat, White House berkata, rakan dagang AS yang mencapai perjanjian tarif berasingan dengan pentadbiran Trump juga akan tertakluk kepada tarif global baharu tersebut.

Bagaimanapun, keputusan mahkamah tidak menjejaskan duti khusus sektor yang dikenakan Trump secara berasingan ke atas keluli, aluminium dan pelbagai barangan lain.

Siasatan kerajaan yang masih berjalan berpotensi membawa kepada tarif sektor tambahan.

Namun begitu, ia tetap menandakan kekalahan terbesar Trump di Mahkamah Agung sejak beliau kembali ke White House 13 bulan lalu kerana secara umumnya, mahkamah telah memperluaskan kuasanya.

Trump memuji hakim-hakim konservatif yang mengundi untuk mengekalkan kuasanya mengenakan tarif, Clarence Thomas, Samuel Alito dan Brett Kavanaugh, yang dilantik olehnya sambil mengucapkan terima kasih atas “kekuatan dan kebijaksanaan mereka, serta kecintaan terhadap negara.”

Presiden itu mendakwa majoriti enam hakim, termasuk dua yang dilantik semasa penggal pertamanya, telah “dipengaruhi oleh kepentingan asing.”

“Saya fikir kepentingan asing diwakili oleh individu yang saya percaya mempunyai pengaruh tidak wajar,” katanya.

Harga saham di Wall Street penunjuk yang diperhatikan rapat oleh Trump meningkat sedikit pada Jumaat selepas keputusan itu, yang memang telah dijangka.

Kumpulan perniagaan sebahagian besarnya menyambut baik keputusan tersebut, dengan Persekutuan Peruncitan Kebangsaan menyatakan ia “memberi kepastian yang amat diperlukan” kepada syarikat.

Dalam hujahan di mahkamah, pentadbiran Trump berkata, syarikat akan menerima bayaran balik sekiranya tarif itu didapati tidak sah.

Namun, keputusan Mahkamah Agung tidak menyentuh isu tersebut.

Trump menjangkakan bertahun-tahun litigasi mengenai sama ada bayaran balik akan diberikan.

Kavanaugh menyatakan proses bayaran balik itu boleh menjadi “kucar-kacir.”

Beberapa negara sedang meneliti keputusan Mahkamah Agung serta pengumuman tarif susulan oleh Trump.

Canselor Jerman, Friedrich Merz berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan sekutu Eropah untuk merangka “pendirian Eropah yang sangat jelas” serta respons bersama terhadap Washington sebelum beliau melawat ibu negara AS pada awal Mac.

Di dalam negara, Gabenor Pennsylvania dari Parti Demokrat, Josh Shapiro berkata, sudah tiba masanya Trump “mendengar keputusan Mahkamah Agung, menamatkan tarif yang kucar-kacir, dan berhenti menimbulkan kekacauan kepada petani, pemilik perniagaan kecil dan keluarga”. – MalaysiaGazette