AL ARISH (Mesir): Hospital Terapung Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini menerima tujuh pesakit baharu dan individu yang cedera dari Semenanjung Gaza sejak beberapa hari lalu untuk menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
Agensi Berita Emiriah (WAM) melaporkan inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha kemanusiaan dan perubatan berterusan UAE untuk menyokong rakyat Palestin dan meringankan penderitaan mereka dalam konflik kemanusiaan yang mencabar.
Kemasukan terkini itu menjadikan jumlah kes yang diterima hospital itu kepada 33 kes sejak pembukaan semula sempadan Rafah.
Pasukan perubatan dan jururawat terus menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan sejurus ketibaan pesakit, selaras dengan piawaian perubatan tertinggi yang diluluskan, memastikan tindak balas pantas dan penyediaan rawatan yang diperlukan mengikut keadaan setiap kes.
Pentadbiran hospital mengulangi kesediaan untuk menampung pesakit tambahan dan meneruskan perkhidmatan rawatan selaras dengan piawaian perubatan tertinggi yang diiktiraf.

