SPRM tahan 2 dua pegawai Imigresen Kedah, disyaki minta rasuah RM39,000

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Imigresen Kedah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM39,000 sebagai balasan mendapatkan kelulusan permit kerja warga asing bagi sebuah syarikat di negeri ini.

Kedua-dua lelaki, masing-masing berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu ditahan bersama seorang lagi suspek yang dipercayai orang tengah, kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, di sini.

“SPRM Kedah semalam menahan dua pegawai penguat kuasa bersama seorang individu yang dipercayai orang tengah bagi kes ini, namun lelaki dipercayai orang tengah itu sudah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek bersubahat meminta wang rasuah daripada ejen sebuah syarikat melalui orang tengah, antara Januari hingga Februari lalu. Mereka disyaki menerima wang rasuah permulaan kira-kira RM4,000 secara transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing dan baki RM35,000 masih dalam proses,” menurut sumber.

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini dan dibenarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali direman selama enam hari.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.