,

Pengarah Ladang Farm Fresh maut nahas helikopter di Filipina

KUALA LUMPUR – Pengarah Ladang Farm Fresh Bhd (Farm Fresh), Jacob Mathan, 35, maut selepas helikopter yang dinaikinya terbabit dalam nahas di Filipina, semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee dalam satu kenyataan hari ini yang memaklumkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi berhampiran Pililla, di Wilayah Rizal.

Menurutnya, ketika kejadian, Jacob dalam penerbangan bersama CEO Farm Fresh Filipina yang dikenali sebagai Shawn, bagi menjalankan lawatan rutin ke sebuah tapak ladang berpotensi sebelum helikopter dinaiki mereka mengalami masalah enjin dan mendarat cemas.

Shawn turut cedera dalam kejadian itu dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar isteri Jacob, Amy, serta keluarga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan, dan agar Shawn dikurniakan kesembuhan yang segera,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, Jacob menyertai keluarga Farm Fresh sebagai pelatih universiti 13 tahun yang lalu dan menunjukkan rasa tanggungjawab yang tinggi, kebolehan belajar yang cemerlang dan disifatikan seorang insan yang benar-benar baik.

Katanya, Jacob juga berjaya menjalin hubungan dan kepercayaan kukuh dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan banyak lagi.

Semalam, media tempatan Filipina melaporkan seorang rakyat negara ini maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah helikopter yang membawa lima individu terhempas.

Kemalangan itu turut mengorbankan seorang penumpang warga Filipina selepas helikopter jenis Bell 505 itu dilaporkan melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan tanah kosong. – MalaysiaGazette