Lapan termasuk mekanik, OKU ditahan kes rompakan RM500,000 bersenjata pistol

JOHOR BAHRU – Polis menahan lapan individu termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) kerana merompak seorang pembekal pekerja asing menggunakan pistol di kawasan Pusat Perdagangan Pasir Gudang di sini pada 24 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian yang berlaku di kawasan tempat letak kenderaan tersebut pukul 1 tengah hari pada 24 Februari lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada pukul 12 tengah hari apabila seorang mangsa lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun mengeluarkan wang tunai berjumlah RM500,000 dari sebuah bank dengan ditemani oleh isterinya.

“Ketika sedang menghampiri kenderaan yang di parkir berdekatan, mangsa didatangi dua suspek yang tidak dikenali termasuk seorang mengacukan sepucuk pistol ke arah mangsa sebelum merampas dan melarikan dua beg berisi wang tunai RM500,000.

“Wang milik mangsa yang merupakan warga Pakistan itu sepatutnya digunakan bagi membayar gaji pekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, susulan itu sepasukan anggota daripada bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam membuat tangkapan.

Jelasnya, tangkapan itu melibatkan tujuh lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 23 sehingga 53 tahun di beberapa lokasi berasingan di Seri Alam dan Tampoi.

Menurut beliau, semua suspek termasuk OKU terbabit ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian rompakan berkenaan.

Mengikut butiran tangkapan suspek terdiri daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang merupakan ahli perniagaan, dua lelaki berusia 23 tahun dan 32 tahun yang menjadi penganggur, dua lelaki yang bekerja sebagai mekanik berusia 29 tahun dan 31 tahun.

Ujarnya, turut ditahan lelaki berusia 30 tahun yang berniaga makanan, seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan ahli perniagaan serta seorang wanita warga tempatan berketurunan Pakistan berusia 53 tahun yang juga ahli perniagaan.

“Suspek berusia 30 tahun yang merupakan ahli perniagaan serta suspek berusia 32 tahun yang merupakan penganggur dipercayai menjadi dalang utama kejadian.

“Lelaki OKU yang berkerusi roda serta lumpuh separuh badan pula berperanan sebagai penyalur maklumat dalaman kejadian itu,” katanya.

Hasil semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Semua suspek ditahan reman sehingga 10 Mac depan bagi membantu siasatan, katanya.

Ab Rahaman berkata, dalam kejadian itu, polis berjaya merampas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah kereta Perodua Myvi, dua keping nombor plat kereta kenderaan yang dipalsukan, dua beg bewarna kelabu, sebuah topi, sebuah pelitup muka warna hitam dan sepasang sarung tangan warna putih.

Menurutnya, turut dirampas 25 keping resit kemasukan wang, 800 keping wang tunai, RM20,700 keping wang tunai RM10, lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi wang kertas RM50.

Selain itu, pihak polis berjaya menyita wang tunai RM65,830 daripada akaun syarikat milik seorang suspek yang sempat mendepositkan wang menerusi mesin bank iaitu selari dengan peruntukan Seksyen 116d Kanun Tatacara Jenayah.

“Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas adalah sebanyak RM487,350 manakala bakinya sempat dibelanjakan oleh kumpulan suspek bagi tujuan peribadi termasuk untuk penginapan,” katanya.

Kertas siasatan, dirujuk ke pejabat pengarah pendakwaan negeri Johor dan menerima arahan pertuduhan.

Enam suspek bakal dituduh termasuk di bawah Seksyen 399 Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 120b Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tiruan.

Beliau berkata, pendakwaan akan dilakukan esok manakala dua lagi tangkapan akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan mengikat bon bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah

Beliau mengakui kejayaan operasi adalah hasil dari risikan pihak polis dan juga maklumat dari orang awam.

Ab Rahaman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang kenyataan yang boleh menganggu proses pendakwaan.

Polis juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran dan talian hotline polis Johor  019-2792095 atau talian bilik gerakan ibu pejabat polis kontinjen Johor 07-2212999. – MalaysiaGazette