ISTANBUL – Mojtaba Khamenei dilantik sebagai Pemimpin Tertinggi baharu Iran oleh Assembly of Experts, menggantikan bapanya Ali Ayatollah Khamenei, lapor Anadolu yang memetik laporan Press TV Iran.
Pelantikan Mojtaba, seorang ulama pertengahan yang mempunyai hubungan rapat dengan Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) dibuat selepas Ali Khamenei terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat-Israel pada 28 Februari lalu.
Ulama berusia 56 tahun itu dipilih oleh Assembly of Experts, sebuah badan yang mempunyai 88 anggota dan bertanggungjawab di bawah Perlembagaan Iran untuk melantik autoriti politik dan agama tertinggi negara tersebut.
Pemilihannya dibuat mengikut prosedur perlembagaan sedia ada dan bukannya melalui pewarisan kuasa secara turun-temurun, walaupun latar belakang keluarganya serta kedudukannya yang rapat dengan Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei telah lama mencetuskan spekulasi mengenai penggantian kepimpinan.
Dengan pelantikan itu, Mojtaba menjadi pemimpin tertinggi ketiga Republik Islam Iran sejak Revolusi Iran, sekali gus mengambil alih kepimpinan negara ketika konflik serantau semakin memuncak dan keadaan domestik yang tidak menentu.
Mojtaba dilahirkan pada 8 September 1969 di bandar Mashhad di timur laut Iran, salah satu pusat agama utama negara itu.
Beliau merupakan anak kedua kepada Allahyarham Ali Khamenei yang memerintah Iran sebagai pemimpin tertinggi dari 1989 sehingga terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat-Israel lebih seminggu lalu.
Mojtaba juga merupakan cucu kepada ulama Sayyed Javad Khamenei.
Membesar dalam persekitaran politik yang kuat, Mojtaba menyaksikan kebangkitan bapanya sebagai tokoh penting dalam Revolusi Islam dan kemudian sebagai Presiden Iran sebelum dilantik sebagai pemimpin tertinggi negara itu.
Beliau berkahwin dengan Zahra Haddad-Adel, anak kepada Gholam-Ali Haddad-Adel, seorang ahli politik konservatif terkemuka dan bekas Speaker Parlimen Iran yang kini mengetuai salah satu institusi kebudayaan utama negara itu.
Zahra turut terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat-Israel yang menyasarkan kompleks kediaman keluarga Khamenei di ibu negara, Tehran.
Mojtaba terselamat dalam serangan tersebut, namun kehilangan ibunya, seorang saudara perempuan, ipar lelaki serta beberapa anak saudara.
Seperti kebanyakan tokoh dalam institusi ulama Iran, Mojtaba melanjutkan pendidikan agamanya di bandar Qom, pusat utama pengajian teologi Syiah di negara itu.
Beliau mempelajari bidang fiqh dan teologi Islam di bawah beberapa ulama konservatif terkemuka termasuk Ayatollah Mahmoud Hashemi Shahroudi, Ayatollah Lotfollah Safi Golpaygani dan Mohammad-Taqi Mesbah-Yazdi, seorang ideolog berpengaruh yang membimbing ramai tokoh politik konservatif Republik Islam.
Menurut penganalisis Iran, Mojtaba banyak menghabiskan kerjayanya sebagai tenaga pengajar di Qom, termasuk mengendalikan kelas fiqh lanjutan yang dikenali sebagai dars-e kharej, iaitu peringkat tertinggi dalam pendidikan seminari.
Laporan terbaharu menyatakan beliau pernah menggantung sementara beberapa kelasnya atas sebab peribadi, namun perkara itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Walaupun telah lama berada dalam institusi ulama Iran, Mojtaba tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam kerajaan atau berkhidmat dalam mana-mana jawatan eksekutif atau pilihan raya.
Media antarabangsa sering menggambarkan beliau sebagai tokoh yang agak misteri tetapi dipercayai mempunyai pengaruh di sebalik tabir.
Kekurangan kemunculan awam serta ketiadaan ucapan, wawancara atau manifesto politik yang jelas menambahkan persepsi tersebut.
Namanya sering muncul dalam perbincangan politik Iran, khususnya berkaitan pilihan raya presiden atau spekulasi mengenai calon yang mungkin disokongnya.
Namun Mojtaba jarang terlibat secara langsung dalam perbahasan politik awam. Kemunculannya kebanyakannya terhad kepada majlis rasmi, sambutan kebangsaan dan perhimpunan keagamaan yang dilaporkan media kerajaan Iran.
Kemunculan awam terakhir beliau dilaporkan ketika menghadiri perhimpunan menyokong kerajaan susulan gelombang protes besar-besaran awal tahun ini.
Menurut laporan Iran, Mojtaba juga pernah menyertai Perang Iran–Iraq pada penghujung 1980-an ketika bapanya menjadi Presiden Iran.
Beliau dilaporkan menyertai unit sukarelawan ketika masih muda, yang menjadi pengalaman awalnya dalam urusan ketenteraan.
Beberapa media Barat turut mengaitkan beliau dengan IRGC, salah satu institusi paling berpengaruh di Iran, walaupun beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam organisasi tersebut.
Mojtaba kini mengambil alih kepimpinan negara ketika Iran berada dalam antara tempoh paling tegang dalam sejarah moden negara itu.
Peralihan kepimpinan ini juga berlaku di tengah-tengah ancaman langsung dari Israel, yang pemimpinnya dilaporkan berikrar untuk membunuh mana-mana pemimpin Iran yang dipilih bagi menggantikan Ali Khamenei. – Agensi

