KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah perlu meningkatkan aspek kekuatan fizikal bagi membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak pukulan pembunuh dalam usaha meraih mata pada perlawanan penting.
Rumusan itu dibuat Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky selepas pasangan nombor dua dunia berkenaan terkandas di separuh akhir Seluruh England, Sabtu lalu.
Impian Pearly-Thinaah untuk mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara mara ke final kejohanan berprestij itu tidak kesampaian apabila tewas kepada gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 17-21, 18-21.
Rexy berkata, pasangan negara itu perlu memberi lebih penekanan kepada aspek kekuatan fizikal selain mengekalkan ketenangan ketika berdepan detik penting perlawanan.
“Untuk Pearly dan Thinaah, kita dapat lihat aspek kekuatan fizikal perlu diberikan lebih penekanan, terutama bagi menghasilkan pukulan pembunuh untuk mendapatkan mata.
“Dalam perlawanan itu mereka dilihat hilang kesabaran dan terlalu terburu-buru untuk mematikan bola sehingga melakukan banyak kesilapan sendiri,” katanya kepada BH Sukan.
Dalam pada itu, Rexy turut memuji usaha ditampilkan beregu muda negara Ong Xin Yee-Carmen Ting walaupun tewas kepada pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 18-21, 7-21.
Menurutnya, pasangan muda berkenaan memberikan tentangan sengit pada set pertama namun masih memerlukan lebih banyak pendedahan di kejohanan peringkat tinggi.
“Xin Yee-Carmen walaupun kalah tetapi mereka memberikan tentangan yang baik pada set pertama.
“Pengalaman beraksi di kejohanan peringkat tinggi itu yang mereka masih perlukan untuk terus meningkat,” katanya.

