2 kapal tangki minyak diserang di perairan Iraq, seorang maut, operasi cari mangsa hilang diteruskan

BAGHDAD: Dua kapal tangki minyak terbakar akibat serangan belum dikenal pasti di perairan Iraq, menurut pihak berkuasa pelabuhan di negara ini.

Kedua-duanya adalah kapal tangki asing yang membawa bahan api Iraq, kata Ketua Pengarah General Company for Ports, Farhan al-Fartousi, kepada REUTERS, semalam.

AFP pula melaporkan Al-Fartousi memaklumkan setakat ini, sekurang-kurang seorang kru disahkan maut dan 38 lagi berjaya diselamatkan, manakala operasi mencari mangsa yang hilang masih diteruskan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran kewarganegaraan mereka atau siapa bertanggungjawab atas serangan itu.

Sel media Kerajaan Iraq memberitahu agensi berita nasional, INA, bahawa ‘dua kapal tangki telah menjadi sasaran sabotaj’.