Messi buru gol ke-900

WASHINGTON: Lionel Messi berpeluang mencipta satu lagi detik bersejarah dalam karier gemilangnya apabila memburu gol ke-900 ketika membantu Inter Miami menentang Charlotte FC dalam aksi Major League Soccer (MLS), esok.

Jika berjaya, bintang Argentina itu akan menyertai Cristiano Ronaldo sebagai dua pemain sahaja yang mencapai angka 900 gol dalam karier profesional.

Messi juga dijangka mengetuai usaha Inter Miami meneruskan momentum kemenangan selepas mencatat dua kemenangan dalam tiga perlawanan awal musim liga setakat ini.

Bagaimanapun, pasukan itu gagal menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir mereka apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Nashville dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Juara-Juara CONCACAF, Rabu lalu.

Dalam pada itu, Inter Miami turut dibelenggu masalah kecederaan apabila pertahanan Maxi Falcon terpaksa dikeluarkan seawal minit kelima dalam perlawanan berkenaan akibat kecederaan lutut.

Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano berkata tahap kecederaan pemain itu masih belum diketahui dan perlu menjalani pemeriksaan lanjut.

“Kami masih belum mengetahui tahap kecederaan Maxi. Dia perlu menjalani ujian terlebih dahulu.

“Dia pemain yang kuat dan jika dia terpaksa meninggalkan perlawanan begitu awal, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Kami harap dia dapat pulih dengan cepat,” katanya.

Sementara itu, Charlotte FC yang kini mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan hadir dengan keyakinan tinggi selepas meraih kemenangan pertama musim ini apabila menewaskan Austin 3-1 minggu lalu.

Pemain tengah, Pep Biel menjadi antara tonggak utama pasukan itu selepas menjaringkan tiga gol dalam tiga perlawanan liga musim ini.

Charlotte berharap dapat memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dalam siri lima perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri bagi mengumpul mata awal musim. – REUTERS