MILAN, Itali: Bekas bintang England, Ashley Cole dilantik sebagai jurulatih kelab divisyen kedua Itali, Cesena sekali gus memulakan peranan pertama sebagai pengurus pasukan senior.
Kelab itu mengumumkan pelantikan Cole semalam dengan kontrak sehingga hujung musim ini bersama pilihan lanjutan bergantung kepada beberapa syarat tertentu.
“Seluruh keluarga besar Cesena FC berbesar hati mengalu-alukan Ashley Cole sebagai ketua jurulatih pasukan utama dan mengucapkan selamat datang kepada beliau serta barisan kejurulatihannya di Cesena.
“Kami mendoakan kejayaan buat mereka dalam pengembaraan baharu ini,” menurut kelab itu dalam satu kenyataan.
Cole yang memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Arsenal dan Chelsea serta Liga Juara-Juara pada 2012 sebelum ini berperanan sebagai penolong jurulatih di Everton dan Birmingham City.
Selain itu, beliau turut pernah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan skuad bawah 21 tahun dan pasukan senior England.
Pengendali berusia 45 tahun itu menyertai Cesena selepas kelab berkenaan memecat Michele Mignani kelmarin susulan tujuh perlawanan tanpa kemenangan yang menjejaskan peluang mereka untuk kekal dalam zon play-off Serie B.
Dimiliki ahli perniagaan Amerika Syarikat, Mike Melby, Cesena kini berada di tangga kelapan Serie B iaitu kedudukan terakhir bagi slot play-off, namun hanya dua mata di depan Sudtirol dengan berbaki lapan perlawanan musim ini.
Cole yang membuat 107 penampilan bersama England dianggap antara pertahanan kiri terbaik dunia pada zamannya dan pernah mewakili negara itu pada tiga edisi Piala Dunia serta dua Kejuaraan Eropah. – AFP

