Wanita warga asing ditemui dibunuh dengan kesan tikaman di kilang

TANGKAK – Seorang wanita warga asing ditemui ditikam dan tidak sedarkan diri di sebuah kilang dalam Kawasan Industri Tangkak di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan wanita tersebut pada pukul 8.40 pagi.

“Pemeriksaan di tubuh badan mangsa mendapati kecederaan di bahagian leher dan mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

“Bertindak atas maklumat anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak berjaya membuat tangkapan ke atas seorang wanita warga asing di lokasi yang sama pukul 11 pagi,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Roslan berkata, motif kejadian masih belum dikenal pasti dan siasatan dijalankan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Sharidhathul Aflaha Ismail 019-2699573.

Tambahnya, boleh juga menghubungi bilik gerakan IPD Tangkak 06-978 5222.- MalaysiaGazette