Belasah, langgar kepala isteri hamil dengan motosikal

MELAKA – Polis Melaka sedang memburu seorang lelaki tular videonya membelasah isterinya yang sedang hamil sebelum melanggar kepala wanita itu dengan motosikal di hadapan sebuah pusat hiburan di Kota Shahbandar di sini, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada ibu mangsa yang membuat laporan jam 1.17 pagi semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 20 tahun telah diserang suaminya berusia 22 tahun di hadapan sebuah premis karaoke keluarga di Kota Shahbandar kira-kira jam 4 pagi Ahad lalu.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek bertindak agresif dengan memukul, melempang serta menarik rambut mangsa sebelum melanggar kepala wanita itu menggunakan motosikal.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan sebelum dibawa ambulans ke Zon Merah Hospital Melaka pada jam 4.41 pagi akibat kecederaan dialami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya di Tanjung Minyak Perdana sebelum wanita itu membuat laporan polis untuk menyelamatkan anaknya itu.

“Bagaimanapun, pada kira-kira jam 9 malam hari sama, ibunya mendapati pintu belakang rumahnya telah dibuka dan mangsa didakwa telah keluar dari rumah bersama anak lelakinya berusia dua tahun dipercayai mengikut suspek.

“Pengadu gagal menghubungi mangsa sehingga kini dan bimbang akan keselamatan kedua-duanya.

“Usaha mengesan suspek yang bekerja sebagai penghantar barang di Telok Mas serta isteri dan anaknya masih diteruskan sehingga kini,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Sejak semalam, tular video berdurasi 56 saat menunjukkan perbuatan kejam suspek terhadap isterinya itu mengundang pelbagai reaksi masyarakat. – MalaysiaGazette