Ulang alik 40 km isi tong air akibat krisis bekalan

GUA MUSANG: Penduduk di Taman Agropolitan Rantau Manis, dekat sini terpaksa berulang alik hampir 40 kilometer (km) untuk memunggah air susulan masalah gangguan bekalan sejak pertengahan Ramadan lalu.

Mohd Nasah Ya, 55, terpaksa berulang alik dari Taman Agropolitan Rantau Manis ke rumah keluarga di bandar ini untuk mengambil bekalan air bersih bagi kegunaan keluarganya apabila mengalami gangguan bekalan air bersih daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Perjalanan keluar dari tempat ini ke bandar Gua Musang hampir 20 km dan saya akan berulang alik kerana perlu menjaga dan menguruskan isteri yang sedang sakit.

“Adakalanya saya terpaksa mengambil air di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) atau masjid di sekitar kawasan ini, namun risau juga jika dimarahi pihak terbabit apabila terlalu kerap mengambil air di sana, kerana itu saya membuat keputusan mengambil air di rumah keluarga yang terletak di bandar Gua Musang,” katanya.

Sementara itu, Sahazudin Mohammad, 52, berkata masalah gangguan bekalan air di kawasan terbabit berlaku setiap tahun menjelang Ramadan dan Aidilfitri menyebabkan dia dia terpaksa mandi di R&R berdekatan.

“Sejak lapan tahun saya berada di Taman Agropolitan Rantau Manis ini, setiap kali Ramadan akan berlaku masalah gangguan bekalan air bersih daripada pihak AKSB dan pada tahun ini sangat serius apabila sudah seminggu raya pun air masih lagi tiada dan saya terpaksa keluar ke R&R sejauh kira-kira 5 km untuk mandi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata gangguan bekalan air bersih itu membabitkan 600 keluarga di Taman Agropolitan Rantau Manis.

“Walaupun pihak AKSB ada membuat penghantaran air bersih ke kawasan ini serta menyediakan tangki dengan kapasiti lebih 7,000 liter air, namun ia masih belum mencukupi untuk kegunaan penduduk. Saya harap ada tindakan segera daripada pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Korporat AKSB, memaklumkan masalah gangguan bekalan air itu berpunca peningkatan mendadak permintaan air terutama ketika musim perayaan dan kapasiti loji rawatan air yang melebihi tahap maksimum.

Beliau berkata, sumber bekalan air bagi kawasan berkenaan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi kini beroperasi pada kadar 5.2 juta liter sehari (MLD) iaitu melebihi kapasiti asal loji itu iaitu 4 juta liter sehari.

Katanya, pihak AKSB sudah menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori tangki dengan pengisian ke tangki statik di kawasan terjejas sebanyak dua kali sehari.