Warga Mesir disyaki ugut bunuh tuan rumah ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Mesir ditahan selepas disyaki mengugut bunuh tuan rumahnya di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pada 26 Mac lalu, pihaknya telah menahan suspek berusia 20-an itu dan mendapatinya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Sebelum itu, Polis Daerah Cheras dalam kenyataan mengesahkan pada 25 Mac 2026 pukul 7.41 malam telah menerima telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita warga emas tempatan berumur pertengahan 70-an.

Pengadu melaporkan telah diugut bunuh dan rumahnya diancam akan dibakar oleh seorang penyewa bilik seorang warga asing terbabit.

Difahamkan ia ada kaitan dengan ketidakpuashati kepada tuan rumah berhubung bayaran bulanan sewaan rumah dan masalah berhubung parkir kenderaan.

Permohonan reman ke atas suspek telah dipohon pada 26 Mac lalu dan dibenarkan selama tiga hari sehingga semalam.

Kini OKT ditahan reman selama 14 hari mulai 29 Mac hingga 11 April 2026 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) / 427 KK / 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette